
Presiden AS, Donald Trump pada Ahad berkata bahawa perjanjian untuk menamatkan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine kini lebih dekat berbanding sebelum ini, namun mengakui tiada kejayaan ketara dicapai dalam isu wilayah selepas rundingan terbaru dengan pemimpin kedua-dua negara.
Trump, yang menjanjikan perjanjian damai pada hari pertama jawatannya, menyatakan bahawa dalam beberapa minggu lagi akan menjadi jelas sama ada peperangan yang mengorbankan puluhan ribu nyawa sejak Februari 2022 itu dapat ditamatkan.
Dalam usaha diplomatik sebelum sambutan Tahun Baru, Trump membawa Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky ke Florida untuk makan tengah hari bersama pembantu kanan, sehari selepas Rusia melancarkan serangan besar ke atas kawasan perumahan di Kyiv.
Sama seperti pertemuan mereka pada Oktober lalu, Presiden Rusia Vladimir Putin juga bercakap melalui telefon dengan Trump sejurus sebelum pertemuan itu bermula. Trump menegaskan bahawa Moscow “serius” mengenai perdamaian walaupun serangan terus berlaku.
Zelensky berkata bahawa rangka kerja damai yang dibentangkan oleh Trump telah dipersetujui sebanyak “90 peratus” dan “jaminan keselamatan AS-Ukraine dipersetujui 100 peratus.” Walau bagaimanapun, pelan tersebut yang melibatkan pembekuan zon perang di Donbas mungkin memerlukan pungutan suara (referendum) rakyat Ukraine.
Trump mengakui perbezaan pendapat mengenai wilayah masih belum selesai. “Ianya belum selesai, tetapi ia semakin hampir. Itu isu yang sangat sukar, tetapi saya fikir ia akan diselesaikan,” kata Trump.
Sementara itu, Putin pada Sabtu memberi amaran keras: “Jika pihak berkuasa di Kyiv tidak mahu menyelesaikan perkara ini secara aman, kami akan menyelesaikan semua masalah di hadapan kami dengan cara ketenteraan.”
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.