
Video muzik terbaharu kumpulan Dolla berjudul “Question” telah diturunkan daripada YouTube selepas menerima teguran ramai pihak, termasuk Menteri Agama, Mohd Na’im Mokhtar yang menyifatkannya terlalu mencolok mata.
Universal Music Malaysia dalam kenyataan berkata mereka memahami kebimbangan masyarakat terhadap penampilan ahli Dolla dalam MV tersebut yang dianggap tidak sesuai dan sensitif kepada penonton.
Pengarah Urusan Kim Lim berkata keputusan itu dibuat selepas meneliti semula keseluruhan kandungan produksi serta mengambil kira maklum balas masyarakat.
Katanya, sebagai syarikat yang beroperasi dalam masyarakat majmuk, pihaknya menghormati nilai budaya, sensitiviti agama dan pandangan umum, dan bertanggungjawab penuh terhadap sebarang kekhilafan.
Universal Music Malaysia turut komited memastikan perancangan kreatif pada masa depan melalui proses semakan lebih ketat serta konsultasi profesional bagi mengelakkan isu sama berulang.
Syarikat itu juga berterima kasih kepada peminat dan masyarakat yang memberi maklum balas secara terbuka dan membina, serta berharap hubungan antara artis, peminat dan komuniti muzik tempatan tidak terjejas.
Terdahulu, Mohd Na’im berkata Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sedang meneliti kemungkinan tindakan jenayah syariah terhadap selebriti Muslim yang berpakaian mencolok mata, termasuk semakan semula garis panduan pemakaian artis Muslim.
Pendakwah bebas, Ustazah Asma’ Harun turut mengkritik penampilan ahli Dolla dalam MV tersebut, menyifatkannya “semakin parah, terlalu terbuka, terlalu ghairah dan memalukan”.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.