
Pemimpin Bersama, Nik Nazmi Nik Ahmad, mengesahkan beliau ditahan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dalam kes individu bukan muhrim berdua-duaan di tempat tertutup pada 15 Okt lalu.
Bekas menteri sumber asli dan kelestarian alam itu berkata, pertemuan berkenaan bertujuan membincangkan projek bersama rakan-rakannya.
“Saya tidak mahu memanjangkan isu ini, sekadar menyatakan saya bersama rakan-rakan memulakan perbincangan di studio kami di Brickfields, Kuala Lumpur dan kemudian memutuskan untuk meneruskannya di Petaling Jaya kerana ingin melihat beberapa bahan berkaitan projek yang kami bincangkan,” katanya dalam kenyataan.
Akui salah, mohon maaf
Nik Nazmi mengakui hanya dirinya dan seorang wanita berada di lokasi ketika pegawai Jais tiba. Namun, beliau menegaskan mereka tidak melakukan sebarang tindakan sumbang yang menimbulkan syak wasangka.
“Saya mengakui itu adalah suatu kesalahan. Saya akan memberikan kerjasama untuk sebarang proses perundangan,” katanya.
Beliau turut memohon maaf kepada isteri, keluarga dan semua pihak yang terkesan akibat kesilapan pertimbangannya pada waktu kejadian.
Bekas Ahli Parlimen Setiawangsa itu juga memohon maaf kepada Bersama kerana mengecewakan ahli dan penyokong. Beliau turut menyatakan kesediaan menerima apa jua keputusan parti berhubung isu itu.
“Saya berharap semua pihak akan menghormati proses perundangan dan tidak memanjangkan perbicaraan menerusi media,” katanya.
Jais sahkan dua individu ditahan
Sebelum ini, Jais mengesahkan dua individu ditahan bagi membantu siasatan kes khalwat membabitkan seorang figura awam di Petaling, kira-kira 6 petang.
Pengarah Jais, Shahzihan Ahmad, berkata siasatan dijalankan berhubung kesalahan yang disyaki dilakukan mengikut Seksyen 29 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.
“Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.