
Pendaki terkenal, Nirmal Purja, bersama sembilan lagi rakan pendakiannya terkorban akibat runtuhan salji di Pakistan, ketika mendaki salah satu gunung tertinggi di dunia, menurut syarikat ekspedisinya, semalam.
Pasukan penyelamat kini berdepan keadaan berbahaya bagi membawa keluar mayat mangsa selepas kejadian runtuhan salji pada Khamis lalu, yang menyebabkan hubungan dengan ekspedisi antarabangsa yang diketuai Purja terputus.
Purja, 43, pendaki kelahiran Nepal yang menetap di Britain, mengetuai ekspedisi di Broad Peak, salah satu gunung tertinggi di dunia yang terletak di utara Pakistan.
“Dengan rasa amat sedih dan dukacita yang mendalam, kami mengesahkan bahawa Nirmal Purja terkorban secara tragis akibat kejadian runtuhan salji di Puncak Broad,” kata syarikat miliknya, Elite Expeditions, dalam satu kenyataan di media sosial.
“Kami juga menerima pengesahan bahawa ahli ekspedisi yang lain juga tidak terselamat,” katanya.
Mangsa dikenal pasti, operasi mencari diteruskan
Kerajaan wilayah memaklumkan pada malam Jumaat bahawa mayat yang ditemukan setakat ini dan dibawa menggunakan helikopter ke hospital untuk proses pengecaman rasmi membabitkan seorang wanita warga Amerika Syarikat, seorang wanita Oman, dan seorang lelaki Nepal.
Purja, yang pernah berkhidmat bersama Briged Gurkha Britain sebelum menyertai Skuadron Bot Khas Kor Marin Diraja, mencipta pelbagai rekod pendakian selepas memilih kerjaya sebagai pendaki profesional dan jurupandu arah ekspedisi.
Perdana Menteri Nepal, Balendra Shah, turut menyampaikan ucapan takziah atas pemergian Purja dan pendaki lain, sambil menyifatkan kejadian itu sebagai sesuatu yang mengejutkan.
“Perjalanan fizikal semua pendaki yang terkorban sudah berakhir, namun sejarah keberanian, dedikasi dan sumbangan mereka akan terus menjadi sumber inspirasi,” katanya.
Empat mayat ditemukan, cuaca buruk halang operasi
Penasihat Perdana Menteri Pakistan bagi penyelarasan wilayah, Rana Sanaullah, berkata empat mayat sudah ditemukan setakat ini, manakala operasi pencarian melalui udara, darat serta penjejakan sistem kedudukan global diteruskan pada Sabtu meskipun berdepan cuaca buruk.
“Tragedi Broad Peak amat menyedihkan. Pakistan berdiri teguh bersama rakyat Nepal dalam menghadapi waktu berduka ini,” katanya.
Menurut kerajaan wilayah Gilgit-Baltistan, pasukan penyelamat dan helikopter tentera sedang melakukan pencarian di kawasan berkenaan, manakala pasukan lain ditempatkan di kem pangkalan sepanjang malam.
“Operasi menyelamat dijalankan dalam keadaan bentuk muka bumi yang amat mencabar dan cuaca tanah tinggi yang ekstrem oleh tentera Pakistan dengan kerjasama pendaki tempatan dan pasukan penyelamat,” katanya.
Tragedi itu mencetuskan gelombang kesedihan di Nepal serta komuniti pendaki antarabangsa, termasuk legenda pendakian Itali, Reinhold Messner, yang menyampaikan penghormatan dan ingatan buat keluarga mangsa.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.