
PAS menegaskan titah addendum pengampunan bekas Perdana Menteri Najib Razak perlu dilaksana serta-merta, sambil mengingatkan kuasa pengampunan di bawah Perkara 42 ialah budi bicara DiRaja dan tidak wajar dikawal kehakiman atau birokrasi.
Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan berkata keputusan badan kehakiman hendaklah dihormati sebagai tonggak kedaulatan undang-undang, namun hal itu tidak menafikan hak dan kebebasan untuk bersuara yang dijamin Perlembagaan, terutama apabila keputusan mahkamah dilihat melemahkan, menafsir semula atau mengetepikan kuasa yang diberikan secara jelas kepada Yang di-Pertuan Agong, Raja-raja dan Yang di-Pertua Negeri.
Beliau menyatakan bahawa di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan, kuasa memberi pengampunan, menangguhkan atau mengurangkan hukuman merupakan kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Agong, Raja-raja dan Yang di-Pertua Negeri.
“Ia adalah kuasa eksekutif yang dijalankan melalui Lembaga Pengampunan dan tidak tertakluk kepada persetujuan kehakiman, sokongan pentadbiran atau penerimaan politik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, sebarang usaha untuk menempatkan kuasa dan budi bicara pengampunan DiRaja di bawah kawalan kehakiman atau birokrasi berpotensi menceroboh ketetapan Perlembagaan dan menghakis wibawa serta kedudukan Raja-raja.
Takiyuddin turut menegaskan bahawa apa-apa keputusan, arahan atau petunjuk oleh Yang di-Pertuan Agong dalam menjalankan kuasa budi bicaranya adalah berada dalam kerangka Perlembagaan.
“Kekaburan pentadbiran, kehilangan dokumentasi, pendedahan yang bertangguh atau pengakuan yang berpilih-pilih tidak boleh digunakan untuk meneutralkan, menangguhkan atau mempersoalkan kesahihan tindakan DiRaja,” katanya.
Beliau berpandangan isu titah addendum pengampunan Najib yang disifatkan sebagai sebahagian keputusan langsung Yang di-Pertuan Agong ke-16 mestilah diterima, dilaksanakan dan diberikan kuat kuasa undang-undang secara serta-merta tanpa bantahan kehakiman atau pentadbiran.
PAS menyokong hak Najib untuk memfailkan rayuan ke mahkamah lebih tinggi, sambil menegaskan hak rayuan merupakan jaminan serta perlindungan asasi setiap individu yang wajib dihormati dan dibenarkan berjalan dengan bebas, adil dan tanpa prejudis.
Takiyuddin menggesa semua cabang kerajaan dan pihak berkuasa berkaitan bertindak dengan berani, telus dan setia kepada prinsip Perlembagaan supaya keadilan ditegakkan secara konsisten serta kehormatan dan kedaulatan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja terus terpelihara.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.