
Kementerian Dalam Negeri mengesahkan pasport menantu bekas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, Muhammad Adlan Berhan, telah dibatalkan oleh Jabatan Imigresen.
Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, berkata pembatalan itu dilaksanakan selepas permohonan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dikemukakan kepada Jabatan Imigresen.
Beliau memberitahu perkara itu pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan dan sambutan Hari Inovasi 2025 KDN di sini hari ini.
“Sudah, sudah. Pasport Muhammad Adlan sudah dibatalkan. Saya diberi faham oleh Jabatan Imigresen bahawa SPRM pernah mengangkat permohonan untuk membatalkan pasport individu tersebut,” katanya.
“Hal itu telah pun dilaksanakan oleh Jabatan Imigresen. Yang itu saya boleh sahkan,” katanya, sambil menambah beliau tidak menyatakan bila tepat tarikh pembatalan dibuat.
Sebelum ini, SPRM memaklumkan Muhammad Adlan dipercayai berada di sebuah negara yang tidak mempunyai perjanjian ekstradisi dengan Malaysia.
Adlan, 49, dilaporkan meninggalkan negara ini menuju ke New Zealand pada 17 Mei 2023, tidak lama selepas bapa mentuanya didakwa atas beberapa pertuduhan rasuah.
Saifuddin turut mengulas laporan media yang memaparkan beberapa keping gambar dikongsi kepada New Straits Times yang didakwa menunjukkan keberadaan Muhammad Adlan di sebuah negara Asia Barat.
Foto-foto itu dipercayai memaparkan Adlan bersama beberapa individu kenamaan dari Asia Barat dan gambarnya juga dilaporkan berada di lapang sasar menembak yang dikatakan di Thailand.
Apabila ditanya kemungkinan Muhammad Adlan menggunakan pasport lain untuk bergerak ke negara lain, Saifuddin berkata perkara tersebut perlu disemak oleh agensi-agensi berkaitan terlebih dahulu sebelum sebarang pengesahan dibuat.
Mengenai status permohonan untuk menyenaraikan nama Muhammad Adlan dalam senarai notis merah INTERPOL, Saifuddin mengesahkan permohonan itu telah diusahakan melalui Polis Diraja Malaysia.
Beliau berkata tindakan memasukkan nama seseorang ke dalam senarai INTERPOL memerlukan permohonan daripada agensi seperti SPRM yang dikemukakan melalui polis, dan beliau mengesahkan tindakan itu pernah dilakukan oleh Ketua Polis Negara terdahulu, Razarudin Husain, selepas menerima permohonan daripada SPRM.
Semua perkembangan lanjut berhubung kes ini masih bergantung kepada kenyataan rasmi daripada pihak berkuasa berkaitan.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.