
Sidang Dewan Rakyat hari ini menjadi tegang seketika apabila isu berkaitan menantu bekas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang dilaporkan menjalani kehidupan mewah di Asia Barat dibangkitkan oleh seorang Ahli Parlimen.
Keadaan tercetus ketika Khoo Poay Tiong (PH–Kota Melaka) mencelah perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2026 yang sedang dibahas oleh Muhyiddin.
Ahli Parlimen itu ketika memberi ucapan mahu menumpukan perhatian kepada isu kemiskinan rakyat, namun turut menyentuh dakwaan berhubung golongan yang dikatakan hidup mewah dan melarikan diri ke luar negara.
“Ada yang hidup mewah, lari ke luar negara, main golf dekat Asia Barat, main golf dekat sana. Didakwa rasuah, anak menantu Pagoh,” kata Khoo, merujuk kepada kawasan Parlimen yang diwakili bekas Perdana Menteri dan juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN).
Tindakannya itu menimbulkan reaksi beberapa Ahli Parlimen dan menyebabkan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Alice Lau, mengarahkan Khoo untuk duduk kerana beliau tidak diberikan laluan oleh Muhyiddin.
“Yang Berhormat Kota Melaka, sila duduk. Amaran pertama,” tegas Timbalan Yang Dipertua sebelum membenarkan Muhyiddin meneruskan perbahasan.
Laporan media sebelum ini menyebut bahawa ahli perniagaan Muhammad Adlan Berhan, yang melarikan diri lebih dua tahun lalu, dipercayai kini menjalani kehidupan mewah di sebuah negara di Asia Barat.
Muhammad Adlan dilaporkan dikehendaki oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung pertuduhan pecah amanah.
Beberapa gambar yang dikongsi kepada New Straits Times menunjukkan individu berkenaan bersama beberapa kenamaan dari Asia Barat, dan dalam salah satu gambar kelihatan potret seorang pemimpin negara tersebut.
Sumber turut memaklumkan Muhammad Adlan dikatakan kerap keluar masuk negara berkenaan dan melakukan perjalanan ke negara lain seperti Thailand untuk aktiviti rekreasi termasuk bermain golf dan mengunjungi lapang sasar menembak.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.