
Angkatan Muda Keadilan (AMK) tertanya-tanya sama ada Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bersedia menerima jika Pas menamakan wakil mereka sebagai calon perdana menteri selepas Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Exco AMK, Dzul Hilmi Zainol, berkata persoalan itu timbul kerana pimpinan utama Barisan Nasional (BN) masih enggan menamakan ‘poster boy’ untuk jawatan berkenaan.
Siapa pimpin negara jika BN-Pas menang?
Menurutnya, situasi itu mungkin berlaku kerana Pas berkemampuan memenangi lebih banyak kerusi berbanding BN jika gabungan BN-Pas menjadi realiti, memandangkan Pas kini parti yang mempunyai ahli Parlimen paling ramai.
Katanya, jika BN dan Pas benar-benar serius mahu bekerjasama menghadapi PRU16, persoalan paling asas yang perlu dijawab ialah siapa yang akan memimpin negara sekiranya mendapat mandat rakyat.
“Jika perkara sepenting ini pun masih belum dapat disepakati, bagaimana mahu meyakinkan rakyat bahawa mereka mampu membentuk sebuah kerajaan yang stabil?
“Persoalannya, jika Pas menang lebih banyak kerusi Parlimen berbanding BN, adakah BN bersedia menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Pas?
“Sebaliknya, jika BN mendapat lebih banyak kerusi, adakah Pas bersedia menerima calon daripada BN? Bagaimana pula dengan pendirian GPS dan GRS dalam menentukan siapa yang bakal menerajui kerajaan Persekutuan?” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
PH ada kelebihan dari sudut kepastian kepimpinan
Sebelum ini, Profesor Fakulti Undang-Undang dan Hubungan Antarabangsa Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Mohd Afandi Salleh, berkata Pakatan Harapan (PH) mempunyai kelebihan lebih besar dalam isu penamaan calon perdana menteri.
Menurutnya, ia berdasarkan rekod dan keupayaan Anwar Ibrahim mentadbir negara, terutama dari segi pembangunan ekonomi dan sosial.
Dengan PRU16 dijangka berlangsung dalam masa setahun daripada sekarang, Mohd Afandi berkata Anwar menawarkan kepimpinan yang sudah dikenali dan rekod pentadbiran yang boleh dinilai.
Mengulas lanjut, Dzul Hilmi berkata semua ini menunjukkan kerjasama politik bukan sekadar soal mengumpulkan kerusi, tetapi memerlukan kesepakatan tentang kepimpinan, hala tuju negara dan keutamaan rakyat.
Katanya, PH mempunyai kelebihan dari sudut kepastian kepimpinan kerana Anwar ialah perdana menteri sedia ada dan rekod pentadbirannya boleh dinilai oleh rakyat.
“Rakyat boleh meneliti dasar ekonomi, pembangunan sosial serta langkah-langkah yang telah dilaksanakan sepanjang tempoh pentadbiran beliau, sebelum membuat penilaian sendiri menjelang PRU16.
“Namun, kita tidak boleh hanya bergantung pada nama dan rekod seseorang pemimpin. Apa yang lebih penting ialah kemampuan kerajaan untuk meneruskan reformasi, memperkukuh ekonomi rakyat, menangani kos sara hidup dan memastikan setiap lapisan masyarakat mendapat manfaat daripada pembangunan negara,” ujarnya.
Jawatan PM bukan hadiah politik
Menurut Dzul Hilmi, rakyat berhak mengetahui siapa yang bakal memimpin negara sebelum mereka keluar mengundi.
Katanya, jawatan perdana menteri bukan hadiah politik untuk mana-mana parti, sebaliknya satu amanah besar yang mesti disertai tanggungjawab dan komitmen kepada rakyat.
“Akhirnya, PRU16 bukan sekadar pertandingan menentukan parti mana yang mempunyai kerusi paling banyak. Ia adalah pilihan rakyat untuk menentukan siapa yang mempunyai kepimpinan, dasar dan hala tuju yang mampu membawa Malaysia ke hadapan,” tegasnya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.