
Pelaksanaan Undi18 dan pendaftaran pemilih secara automatik menjadi antara cabaran kepada Barisan Nasional (BN) pada PRN Melaka bulan depan.
Justeru, Ketua Menteri Ab Rauf Yusoh berkata, jentera BN perlu memperkukuh strategi untuk mendekati pengundi baharu. Parti itu tidak boleh bergantung kepada kaedah tradisional semata-mata jika mahu terus mempertahankan sokongan.
Pengundi baharu sukar dikenal pasti
Menurut Ab Rauf, dahulu parti boleh mendaftarkan pemilih, mengambil nama mereka dan menyimpannya dalam “bakul” sendiri. Dengan cara itu, BN sudah tahu di mana kerusi boleh dimenangi.
“Tetapi apabila pengundi baharu dibenarkan mengundi, bukan sahaja mereka berusia 18 tahun, malah mereka yang berusia 60 tahun tetapi tidak pernah mengundi juga boleh mengundi.
“Kita tidak tahu siapa mereka dan dari mana datangnya kerana secara automatik mereka menjadi pemilih… akhirnya kita tewas kerusi Parlimen Alor Gajah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Jentera BN Parlimen Alor Gajah di Dewan Kampung Permai Machap Umboo, Alor Gajah, hari ini, lapor Bernama.
Menang PRN 2021, tewas pada PRU15
Ab Rauf yang juga pengerusi BN Melaka mengulas lanjut bahawa parti itu menang bergaya pada PRN Melaka 2021. Namun, kemenangan tersebut tidak dapat diterjemahkan ketika PRU15, apabila BN tewas di keenam-enam kerusi Parlimen yang ditandingi.
Pada PRN Melaka 2021, BN menang 21 daripada 28 kerusi yang dipertandingkan dan berjaya membentuk kerajaan negeri. Pakatan Harapan (PH) pula menang lima kerusi manakala Perikatan Nasional dua kerusi.
Tarikh penting PRN Melaka
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan hari mengundi bagi PRN Melaka pada 14 Nov.
Penamaan calon pula pada 31 Okt, manakala pengundian awal berlangsung pada 10 Nov.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.