
Seorang pelajar Tingkatan Tiga cedera parah selepas dipercayai terjatuh dari tingkat tiga asrama sekolahnya di Sabak Bernam awal pagi tadi.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek mengesahkan Kementerian Pendidikan (KPM) telah melancarkan siasatan dalaman berhubung kemungkinan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP). Laporan polis juga telah dibuat bagi membolehkan siasatan menyeluruh dijalankan.
“Saya telah arahkan siasatan terperinci ke atas semua aspek kes ini, termasuk dakwaan buli. KPM tidak bertolak ansur dengan sebarang bentuk buli, dan tindakan tegas akan diambil jika terbukti,” katanya dalam hantaran di Facebook, sambil mendoakan pelajar terbabit cepat sembuh serta kekuatan buat keluarganya.
Sebagai langkah segera, pengetua sekolah, penolong kanan hal ehwal murid serta semua warden asrama telah ditukar sementara ke Jabatan Pendidikan Negeri Selangor.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata polis menerima laporan sekitar jam 2 pagi dan telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001. Siasatan memberi tumpuan kepada aspek keselamatan sekolah, pengurusan asrama dan latar sosial mangsa.
“Setakat ini, polis sedang merakam keterangan saksi dan individu berkaitan. Walaupun terdapat spekulasi mengenai buli, masih terlalu awal untuk disahkan,” katanya sambil mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat andaian yang boleh mengganggu siasatan atau menambah penderitaan keluarga.
Menurut laporan media, pelajar berkenaan mengalami kecederaan serius termasuk rahang patah, pendarahan otak dan trauma paru-paru. Keluarga mangsa mendakwa kejadian mungkin melibatkan unsur buli berdasarkan tahap kecederaan.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.