
Menteri besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun menjelaskan pelantikan dua senator dari Pakatan Harapan (PH) bagi mewakili negeri itu dibuat oleh pimpinan tertinggi kerajaan perpaduan persekutuan, bukannya keputusan beliau atau exco negeri semata-mata.
Menurut laporan Sinar Harian, beliau berkata pentadbiran negeri sentiasa merujuk kepada kepimpinan parti bagi keputusan-keputusan besar.
“Sebenarnya keputusan (pelantikan senator) itu bukan dibuat oleh saya atau exco kanan Jalaluddin Alias, tetapi oleh pimpinan parti.
“Apa-apa keputusan besar seperti ini sentiasa dirujuk kepada presiden parti. Bagi saya, ia keputusan yang telah dibuat dan dipersetujui,” katanya.
Beliau mengulas isu agihan jawatan politik antara Barisan Nasional (BN) dan PH di Negeri Sembilan yang dikatakan tidak selari dengan semangat kerjasama di peringkat persekutuan.
Pengerusi BN Negeri Sembilan Mohamad Hasan dalam perbahasan di Dewan Undangan Negeri sebelum ini meluahkan rasa kecewa, menegaskan agihan jawatan sepatutnya dibuat secara adil dan berkadar, seperti diamalkan dalam Kabinet kerajaan perpaduan.
Bekas menteri besar itu berkata, parti-parti dalam kerajaan negeri perlu saling menghormati, dan rasa tidak puas hati dalam kalangan rakan gabungan boleh memberi kesan negatif di peringkat akar umbi.
Mohamad atau lebih dikenali sebagai Tok Mat turut kesal kerana janji di peringkat persekutuan untuk mentadbir negara secara bersama tidak dilihat dilaksanakan sepenuhnya di peringkat negeri.
Ketika ini, BN memegang 14 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri, PH mempunyai 17 kerusi, manakala Perikatan Nasional (PN) lima kerusi. Daripada 11 kerusi exco, tujuh disandang wakil rakyat PH termasuk Aminuddin, manakala BN memegang empat.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.