
Seorang pempengaruh media sosial dari Mexico, Cesar Gastelum, maut ditembak ketika sedang live di TikTok bersama beberapa rakannya di bandar Culiacán, negeri Sinaloa. Pihak berkuasa tempatan mengesahkan perkara ini pada Rabu.
Gastelum, yang memiliki hampir 600,000 pengikut di TikTok dan agak dikenali menerusi kandungan komedinya, ketika itu sedang live di luar sebuah restoran makanan segera pada malam Selasa. Tiba-tiba dua individu menaiki motosikal menghampiri kumpulan tersebut.
Detik kejadian dirakam dalam siaran langsung
Rakaman siaran langsung yang diteliti media menunjukkan salah seorang suspek melepaskan tembakan ke arah Gastelum dari jarak dekat. Selepas itu, kedua-dua suspek terus melarikan diri dari lokasi kejadian.
Seorang pegawai keselamatan negeri Sinaloa mengesahkan kematian Gastelum. Beliau turut memaklumkan bahawa satu operasi keselamatan berskala besar sedang dijalankan susulan insiden ini.
Polis bersama pakar forensik telah menutup kawasan kejadian untuk mengumpul bukti, antaranya kelongsong peluru dan rakaman kamera litar tertutup atau CCTV. Buat masa ini, belum ada sebarang tangkapan dibuat.
Siasatan tumpu kepada kaitan kumpulan jenayah terancang
Pihak berkuasa masih menyiasat motif sebenar di sebalik pembunuhan ini. Kabinet Keselamatan Mexico bersama pendakwa raya tempatan berkata siasatan turut meneliti beberapa video dan hantaran media sosial Gastelum yang dipercayai ada kaitan dengan salah satu kumpulan jenayah terancang.
Namun begitu, sehingga kini tiada mana-mana kumpulan yang dikaitkan secara rasmi dengan kes pembunuhan ini.
Presiden Mexico Claudia Sheinbaum pula berkata pihak berkuasa perlu mengenal pasti punca sebenar pembunuhan itu. Beliau turut menegaskan bahawa pelaku serta dalang yang terlibat mesti dibawa ke muka pengadilan.
Insiden ini berlaku ketika keganasan terus memuncak di Sinaloa, terutamanya di Culiacán. Kawasan ini sememangnya menjadi medan perebutan kuasa antara dua faksi Kartel Sinaloa, iaitu Los Chapitos dan Los Mayos, sejak 2024.
Mengingatkan kes pempengaruh kecantikan tahun lepas
Kematian Gastelum turut mengingatkan orang ramai kepada kes pembunuhan pempengaruh kecantikan Valeria Marquez, 23 tahun. Marquez ditembak mati ketika bersiaran langsung di TikTok di negeri Jalisco pada Mei 2025.
Semasa hayatnya, Gastelum kerap memuat naik video komedi dan kandungan gaya hidup untuk tatapan para pengikutnya.
Pada Rabu, ucapan takziah dan penghormatan membanjiri akaun media sosial Gastelum. Ini berlaku ketika pihak penyiasat masih meneruskan usaha mengenal pasti suspek yang bertanggungjawab atas pembunuhan tersebut.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.