
Ketua Pemuda PAS Malaysia merangkap Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Ustaz Afnan Hamimi Dato’ Taib Azamudden, mengecam skim subsidi petrol BUDI95, yang disifatkannya sebagai dasar populis sementara yang gagal menepati janji awal dan menambah beban rakyat.
Menurut Afnan, skim itu pada awalnya digembar-gemburkan mampu menjimatkan RM16 bilion setahun, tetapi kemudian menurun kepada RM8 bilion, dan akhirnya hanya tinggal sekitar RM2–4 bilion.
“Penjimatan kecil ini tidak memberi kesan besar kepada kedudukan fiskal negara. Jika harga minyak dunia naik, kerajaan pula terpaksa menambah subsidi, menjadikannya beban baharu,” katanya.
Beliau menegaskan agihan subsidi tidak adil apabila golongan T20 dan pemilik kereta mewah turut mendapat manfaat sama seperti pengguna motosikal dan kereta kecil, sedangkan pengguna pengangkutan awam langsung tidak menerima faedah.
“Ini menjadikan BUDI95 bersifat regresif dan bercanggah dengan semangat keadilan sosial,” bidasnya.
Afnan menambah, kuota 300 liter sebulan memberi mesej songsang iaitu lebih banyak penggunaan bermakna lebih banyak subsidi, sekali gus gagal mengurangkan penggunaan petrol, kesesakan jalan raya dan pencemaran alam sekitar.
Beliau turut menentang syarat ketat termasuk pengumuman Menteri Pengangkutan bahawa lesen memandu yang tidak diperbaharui lebih tiga tahun tidak layak menerima subsidi, yang dijangka menjejaskan 2.4 juta rakyat.
“Subsidi minyak sepatutnya soal keperluan harian, bukan menambah beban teknikal,” ujarnya.
Afnan turut memberi amaran bahawa skim itu membuka ruang kepada ketirisan, termasuk penjualan semula kuota atau penggunaannya untuk kenderaan syarikat. Beliau membangkitkan isu PADU yang menelan belanja RM85 juta, tetapi tidak digunakan langsung.
“Rakyat rasa tertipu kerana dipaksa daftar PADU, namun akhirnya ia tidak membawa sebarang makna,” katanya.
Beliau menegaskan BUDI95 gagal menutup ketirisan, gagal berlaku adil, dan gagal menyelesaikan masalah fiskal negara.
“Kami mendesak kerajaan kembali kepada subsidi bersasar untuk golongan memerlukan, menutup ruang ketirisan dan menjamin kelestarian kewangan negara. Rakyat tidak boleh terus dijadikan bahan uji kaji politik,” katanya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.