
LEGENDA Formula Satu, Michael Schumacher, dilaporkan menunjukkan perkembangan positif apabila tidak lagi terlantar di katil, hampir 12 tahun selepas kemalangan ski yang mengubah hidupnya pada 2013.
Maklumat mengenai tahap kesihatan juara dunia tujuh kali itu kekal terhad sejak beliau mengalami kecederaan kepala serius ketika bercuti di Pergunungan Alps, Perancis.
Mampu duduk di kerusi roda
Menurut sumber yang dipetik media antarabangsa, Schumacher kini mampu duduk di atas kerusi roda, menandakan perubahan ketara berbanding keadaannya sebelum ini.
Bekas pelumba berusia 57 tahun itu masih menerima penjagaan rapi sepanjang masa oleh isterinya, Corinna Schumacher, bersama pasukan perubatan khas.
Keadaan terbaharu itu membolehkan Schumacher dibawa keluar menggunakan kerusi roda di sekitar kediamannya di Majorca serta hartanah keluarga berhampiran Tasik Geneva.
Spekulasi dan penafian keluarga
Sejak kemalangan tersebut, Schumacher tidak pernah muncul di khalayak awam, sekali gus mencetuskan pelbagai spekulasi mengenai tahap keupayaannya berkomunikasi.
Bagaimanapun, sumber rapat keluarga menafikan dakwaan beliau hanya mampu memberi reaksi melalui kelipan mata.
“Dia memahami sebahagian perkara yang berlaku di sekelilingnya, walaupun tidak semuanya,” kata salah seorang sumber keluarga.
Rawatan dan privasi ketat
Sebelum ini, timbul khabar angin Schumacher akan menghadiri majlis perkahwinan anak perempuannya, Gina-Maria, pada 2024, namun perkara itu tidak berlaku.
Pada tahun lalu, tiga bekas pekerja keluarga Schumacher disabitkan kesalahan selepas mengugut untuk mendedahkan gambar peribadi beliau dalam keadaan semasa.
Awal bulan ini, Gina-Maria berkongsi foto lama keluarga sebelum kemalangan itu sempena ulang tahun kelahiran bapanya dengan kapsyen penuh emosi, “Yang terbaik untuk selamanya. Selamat hari lahir, papa.”
Schumacher sebelum ini berada dalam koma di bawah pemantauan rapi pasukan perubatan selama kira-kira 250 hari sebelum sedar pada Jun 2014.
Selepas dibenarkan keluar dari hospital, beliau meneruskan rawatan di rumah dan menjalani terapi sel stem pada 2019 bagi membantu pemulihan sistem saraf.
Selepas rawatan tersebut, Schumacher dilaporkan berada dalam keadaan sedar, namun butiran lanjut terus dirahsiakan demi menjaga privasi keluarga.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat