
Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook, mengingatkan orang ramai supaya bersedia menghadapi kenaikan harga tiket penerbangan dalam masa terdekat berikutan peningkatan mendadak kos bahan api jet di peringkat global.
Beliau berkata syarikat penerbangan kini terpaksa mengenakan surcaj bahan api sebagai tambahan kepada harga tiket bagi menampung kos operasi yang semakin tinggi.
Syarikat penerbangan sesuaikan operasi
Menurutnya, langkah tersebut tidak dapat dielakkan memandangkan kos bahan api jet yang meningkat memberi tekanan besar kepada industri penerbangan.
Selain itu, syarikat penerbangan turut melaksanakan rasionalisasi operasi, termasuk kemungkinan menggabungkan penerbangan bagi laluan yang mencatat faktor muatan rendah.
Tiada kawalan harga tiket oleh kerajaan
Loke menjelaskan kerajaan tidak akan melaksanakan dasar harga siling bagi tiket penerbangan kerana sektor tersebut beroperasi dalam pasaran bebas yang bergantung kepada penawaran dan permintaan.
Beliau berkata campur tangan dalam penetapan harga boleh memberi kesan negatif, termasuk risiko pembatalan penerbangan sekiranya syarikat tidak mampu menampung kos.
Keadaan itu, katanya, berpotensi memberi impak lebih besar kepada ekonomi serta sektor pelancongan negara.
Kerajaan dalam mod krisis hadapi ketidaktentuan global
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan kerajaan kini beroperasi dalam mod krisis bagi menangani ketidaktentuan global yang menyebabkan kos tenaga meningkat lebih 100% dalam tempoh singkat.
Walaupun bekalan bahan api negara dijangka kekal stabil sehingga Mei, orang ramai diingatkan supaya tidak memandang ringan situasi semasa, memandangkan beberapa negara jiran telah mula berdepan gangguan bekalan yang serius.
Beliau turut menegaskan kepentingan penggunaan tenaga secara berhemah, termasuk mengurangkan perjalanan tidak perlu, menggunakan pengangkutan awam serta mengamalkan perkongsian kenderaan.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.