
Seorang pemimpin Pemuda Bersatu hari ini mendakwa PAS cuba melemahkan partinya dan menjadikan Wawasan pimpinan Hamzah Zainudin sebagai pengganti Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN).
Ketua Penerangan Pemuda Bersatu, Harris Idaham Rashid, mendakwa pemimpin PAS mendesak supaya Bersatu diketepikan dan Wawasan diberi kedudukan lebih tinggi dalam gabungan itu.
“Namun, rancangan itu gagal susulan pembatalan pendaftaran PN oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM),” katanya dalam satu kenyataan.
Lapan alasan aduan kepada JPPM
Harris turut mempertahankan aduan Bersatu kepada JPPM. Beliau menegaskan parti itu mematuhi peraturan, selepas wakilnya dinafikan hak untuk hadir, bersuara dan mengundi dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Julai.
Menurut beliau, Bersatu mengemukakan lapan alasan berhubung dakwaan pelanggaran perlembagaan PN.
Antaranya ialah penafian hak mengundi wakil Bersatu, ketiadaan notis mesyuarat yang sah dan korum yang didakwa tidak mencukupi. Satu lagi alasan ialah pelantikan ke jawatan penting tanpa persetujuan sebulat suara parti komponen.
Harris turut menuduh kepimpinan PN mengubah struktur organisasi gabungan itu tanpa kelulusan rasmi Majlis Tertingginya. Pada masa sama, sebuah parti komponen utama diketepikan dalam keputusan berkaitan dasar dan hala tuju.
Tolak dakwaan Bersatu khianati PN
Harris menolak dakwaan Ketua Penerangan Wawasan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, bahawa Bersatu mengkhianati PN dengan mengemukakan aduan itu.
Wan Fayhsal, bekas anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, menuduh parti itu merancang pembatalan pendaftaran PN selepas kehilangan jawatan kepimpinan dalam gabungan berkenaan. Menurutnya, langkah itu kononnya bagi membuka jalan kepada kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).
Bagaimanapun, Harris menegaskan aduan Bersatu itu berasas kerana hak parti berkenaan dinafikan dalam mesyuarat pada 16 Julai.
Wawasan dikatakan bergantung pada PN
Harris turut membayangkan bahawa tuduhan Wan Fayhsal itu berkait dengan kelangsungan politik Wawasan.
“Wawasan tidak mempunyai banyak pengaruh politik tanpa PN sebagai platformnya. Percubaan parti itu menumpang populariti gabungan berkenaan demi kelangsungan politiknya sendiri akhirnya memakan diri,” katanya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.