
Seorang penumpang maut manakala puluhan lagi cedera, termasuk 11 yang mengalami kecederaan sangat parah, selepas dua kereta api penumpang bertembung berhampiran Bedford, kira-kira 100 kilometer di utara London, menurut pihak berkuasa United Kingdom.
Tragedi itu berlaku pada lewat petang, membabitkan dua kereta api milik East Midlands Railway (EMR) yang menuju ke selatan dalam arah yang sama di landasan yang sama.
Dua kereta api menuju destinasi sama
Menurut jurucakap EMR, kedua-dua kereta api sedang dalam perjalanan ke Stesen London St Pancras, dengan satu berlepas dari Corby manakala satu lagi dari Nottingham, kedua-duanya terletak di tengah England.
Berikutan insiden itu, EMR mengesahkan perkhidmatan kereta api tidak dapat beroperasi masuk atau keluar dari London St Pancras untuk baki petang tersebut.
Penumpang yang turut berada dalam salah satu kereta api, Pete Knapp, menggambarkan kejadian itu berlaku secara tiba-tiba dan mencetuskan kepanikan.
“Pada satu ketika saya tercampak ke kerusi di hadapan, kemudian saya nampak asap. Orang ramai menangis, menjerit, semuanya begitu takut dan mengelirukan. Saya nampak ramai orang tidak mampu bercakap dan ada yang patah kaki,” katanya kepada agensi berita Press Association.
Knapp, yang berada di gerabak hadapan salah sebuah kereta api, turut memuat naik gambar dan video di platform media sosial Bluesky. Walaupun kakinya berdarah dan belakangnya terhentak, beliau bersyukur masih selamat berbanding penumpang lain.
Bunyi dentuman kuat sebelum kejadian
Penumpang lain, Teresa Itabor, memberitahu BBC bahawa beliau mendengar bunyi dentuman kuat sebelum kepalanya terhantuk pada kerusi di hadapan.
“Saya buka mata dan ketika itu saya nampak orang terbaring di lantai dengan darah di merata-rata,” katanya.
Kira-kira lima jam selepas kejadian, Perkhidmatan Ambulans Timur England mengesahkan seorang mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala 11 lagi mengalami kecederaan sangat parah, 22 cedera parah dan 56 lagi mengalami kecederaan ringan. Mangsa yang mengalami kecederaan ringan menerima rawatan di lokasi atau dibawa ke hospital jika perlu.
Lebih 20 ambulans serta enam helikopter perubatan dihantar ke lokasi, dengan pihak berkuasa mengisytiharkan insiden besar bagi memastikan tindak balas kecemasan yang menyeluruh.
Siasatan segera dimulakan
Perdana Menteri UK, Keir Starmer, menyifatkan kejadian itu sebagai amat membimbangkan, merakamkan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban serta kepada mereka yang cedera.
“Saya berterima kasih kepada perkhidmatan kecemasan atas tindakan pantas mereka menangani kejadian tragik ini,” katanya.
Rakaman yang tersebar di media sosial menunjukkan penumpang berjalan di atas landasan berhampiran dua kereta api yang rosak, sementara yang lain menunggu di kawasan padang berdekatan. Rakaman udara turut menunjukkan sekurang-kurangnya satu gerabak dipercayai terkeluar sedikit dari landasan.
Cawangan Siasatan Kemalangan Rel Britain telah menghantar pasukan pemeriksa ke lokasi untuk memulakan pengumpulan bukti bagi menyiasat punca sebenar kejadian.
Pakar kereta api, Tony Miles, memberitahu Sky News bahawa perlanggaran itu dipercayai berlaku pada kelajuan yang agak rendah dan kerosakan pada kereta api kelihatan tidak begitu besar. Namun begitu, beliau mengingatkan bahawa perlanggaran pada kelajuan rendah sekalipun masih boleh membahayakan penumpang di dalam tren.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.