
Sekadar mengelakkan pertembungan pada pilihan raya kelak dikatakan lebih realistik bagi Pakatan Harapan (PH) dan Bersatu, mengambil kira kelompok penyokong yang tidak gembira dengan kerjasama antara mereka.
Penganalisis berkata gandingan sedemikian memungkinkan PH dan Bersatu meluaskan sokongan meliputi pengundi Melayu dan bukan Melayu, menangani potensi pertembungan di kawasan majoriti Melayu, serta mengelakkan pertandingan tiga penjuru atau lebih.
Persefahaman lebih realistik
Menurut Syaza Shukri daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, persefahaman untuk mengelak pertembungan lebih realistik berbanding persefahaman rasmi.
“Persefahaman untuk mengelak pertembungan itu lebih realistik berbanding persefahaman rasmi kerana masih ramai penyokong PH yang tidak gembira dengan prospek kerjasama dengan Bersatu tetapi mungkin terpaksa menerimanya,” katanya.
Persefahaman ini memerlukan PH dan Bersatu membahagikan kerusi antara mereka, tambahnya.
“Walaupun mungkin ada yang melihat kerjasama seperti ini sebagai tidak kukuh, saya rasa rakyat sudah biasa dengan fleksibiliti politik seperti ini, jadi ia mungkin tidak menjadi masalah besar,” kata Syaza.
Pertemuan tertutup di Melaka
Syaza berkata demikian ketika mengulas pertemuan antara pemimpin PH dan Bersatu dalam satu majlis tertutup di Melaka pada 28 September lalu, menjelang PRN Melaka.
Antara pemimpin Bersatu yang dilaporkan hadir ialah Ketua Penerangan Faisal Ismail Aziz, Pengarah Pilihan Raya Mohammad Ali Mohamad, Ketua Sayap Bersekutu R Sri Sanjeevan dan Ketua Penerangan Bersatu Melaka Hishamuddin Abdul Karim.
Ketua Amanah Melaka Ashraf Mukhlis Minghat dan Pemangku Ketua PKR Melaka Adam Adli turut hadir.
Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan pada 23 September lalu untuk memberi laluan kepada PRN Melaka ke-16.
Saling melengkapi di kawasan Melayu
Sementara itu, Mazlan Ali daripada Universiti Teknologi Malaysia hampir pasti PH dan Bersatu akan bekerjasama pada PRN Melaka, didorong oleh keperluan meningkatkan peluang menang di kawasan majoriti Melayu.
“Di kawasan Melayu yang ada kawasan Melayu yang PKR dan Amanah bertanding, undi Bersatu boleh beri sumbangan kepada PH. Di kawasan yang Bersatu bertanding, undi-undi Melayu progresif, undi yang menyokong PH akan beralih kepada Bersatu.
“Jika dibuat kerjasama ini, masing-masing akan saling melengkapi,” katanya.
Sekiranya kerjasama ini berlaku, Mazlan menjangkakan PKR akan meletakkan calon di kawasan campuran, manakala Bersatu akan bertanding di kawasan majoriti Melayu di luar bandar sekiranya pembahagian kerusi dibuat berdasarkan pola sokongan.
“Cabaran segera ialah meyakinkan pengundi masing-masing untuk memberikan undi kepada parti yang satu lagi,” kata Syaza pula.
“Cabaran kedua pula ialah meyakinkan penyokong dan rakyat bahawa unsur-unsur ‘khianat’ tidak akan berlaku lagi.”
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.