
Di tengah kekecewaan pengundi terhadap reformasi dan usaha membanteras rasuah, Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli menegaskan usaha memulihkan kredibiliti anti-rasuah kerajaan perlu bermula dengan menggantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki dengan calon yang baharu.
Rafizi berkata keputusan PRN menunjukkan kekecewaan pengundi terhadap prestasi reformasi kerajaan, khususnya dalam usaha membanteras rasuah — isu utama bagi penyokong PH dari golongan kelas menengah.
Menurutnya, data kaji selidik sejak 2024 menunjukkan kebimbangan berterusan rakyat terhadap keberkesanan kerajaan menangani rasuah, sementara kecekapan SPRM turut dipersoalkan.
Statistik menunjukkan kadar kertas siasatan yang berakhir dengan pendakwaan menurun daripada 56% (2020) kepada 39% (2024), manakala sabitan juga merosot daripada 300 kes (2021) kepada 256 kes (2024), iaitu jatuh daripada 36% kepada 22%.
Rafizi turut merujuk beberapa kes profil tinggi yang berakhir dengan DNAA, digugurkan atau diselesaikan dengan kompaun, yang mencetuskan kemarahan rakyat.
Beliau berkata soalan beliau kepada Perdana Menteri di Parlimen mengenai kemungkinan lanjutan kontrak Azam menerima jawapan yang kabur.
“Keputusan sama ada menyambung kontrak ini atau tidak akan menjadi ukuran rakyat terhadap komitmen kerajaan melawan rasuah,” katanya dalam satu penghantaran di Facebook.
Rafizi berkata langkah awal membina semula kredibiliti PH bermula dengan melantik Ketua Pesuruhjaya SPRM baharu.
Beliau turut menggesa Nurul Izzah, Anthony Loke dan pimpinan DAP menyatakan pendirian secara terbuka.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.