
Pakatan Harapan (PH) berdepan risiko kehilangan kuasa sekiranya pilihan raya diadakan dalam keadaan semasa, susulan kelemahan dalam usaha memperkukuh semula jenama dan sokongan di peringkat akar umbi.
Ketua Penyelidik Ilham Centre, Mohd Yusri Ibrahim, berkata Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli, dilihat aktif menggerakkan pelbagai inisiatif politik selepas tewas dalam pemilihan jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Peranan kepimpinan dan gerakan politik
Menurut beliau, berbeza dengan Rafizi, tindakan signifikan daripada Nurul Izzah Anwar selepas memegang jawatan tersebut masih belum kelihatan.
Katanya, terdapat ruang yang luas untuk digerakkan oleh Nurul Izzah, khususnya dalam membantu Presiden PKR menghidupkan semula jenama PH yang dilihat semakin tenggelam selepas pembentukan kerajaan perpaduan.
“Selepas pembentukan kerajaan perpaduan, jenama PH tenggelam.
“Jika pilihan raya diadakan sekarang atau dalam kondisi semasa, PH akan tumbang,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Sokongan akar umbi semakin terhakis
Mohd Yusri yang juga pensyarah Pengajian Polisi di Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial Universiti Malaysia Terengganu berpandangan, Nurul Izzah boleh memainkan peranan penting dalam memujuk serta memulihkan semula sokongan pengundi tegar PH.
Menurutnya, hampir semua segmen penyokong kuat PH sebelum 2022 kini tidak berada dalam keadaan positif.
“Ada yang kecewa, ada yang merajuk, ada yang terluka, ada yang menjauh, dan ada juga yang masih menunggu dan melihat perkembangan,” katanya.
Cabaran tarik pengundi baharu
Dalam masa sama, beliau berkata PH masih belum berjaya menembusi serta menarik sokongan daripada segmen pengundi baharu.
Situasi tersebut, katanya, memerlukan tindakan segera bagi memastikan sokongan rakyat dapat dipulihkan.
Beliau sekali lagi menegaskan bahawa jika pilihan raya diadakan dalam keadaan semasa, PH berisiko tumbang.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.