
Pakatan Harapan (PH) masih berminat mengadakan rundingan dengan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi PRN Melaka, kata Pengarah Pilihan Raya PH, Amirudin Shari.
Beliau berkata pilihan masih terbuka, termasuk berunding dengan Bersatu, bagi mencari bentuk kerjasama yang boleh diterima semua pihak.
“Setakat ini, saya anggap permainan masih terbuka, pintu rundingan masih terbuka. Kita berunding dengan semua orang,” katanya selepas merasmikan Pusat Perubatan Sunway Damansara di Kota Damansara.
Berbeza dengan kenyataan Khalid Samad
Kenyataan Amirudin itu dibuat selepas Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad, berkata pada Selasa bahawa PH tidak akan bekerjasama dengan BN pada PRN Melaka.
Menurut Khalid, PH sebaliknya terbuka kepada gabungan lain kecuali BN dan Perikatan Nasional (PN).
Hari ini, Utusan Malaysia melaporkan Ketua Amanah Melaka, Ashraf Mukhlis Minghat, berkata PH tidak menutup ruang menjalin kerjasama dengan mana-mana parti, sama ada BN mahupun Bersatu, menjelang PRN.
Katanya, apa yang disuarakan Khalid mengenai kerjasama dengan BN dianggap sebagai pandangan peribadi.
Pertemuan tertutup dengan Bersatu Melaka
Dalam perkembangan berkaitan, PH sebelum ini dilaporkan mengadakan pertemuan tertutup dengan pemimpin Bersatu Melaka.
Namun, Pengarah Komunikasi PH, Fahmi Fadzil, menegaskan tiada rundingan rasmi dibuat dan sebarang keputusan kerjasama perlu diputuskan oleh Majlis Presiden PH.
Mengulas rundingan PH dengan Bersatu, Amirudin berkata perkembangan lanjut mungkin diketahui dalam tempoh terdekat.
“Menjelang minggu depan, saya fikir kita boleh dapat sesuatu,” katanya.
BN tangguh rundingan
Sementara itu, Pengerusi BN Melaka, Ab Rauf Yusoh, berkata rundingan mengenai kerjasama PRN ditangguhkan kerana belum ada tarikh sesuai untuk dipersetujui.
BN dijangka memulakan rundingan minggu ini, namun Rauf berkata pertemuan dengan bakal rakan kerjasama mungkin diadakan minggu depan.
Amirudin berkata keutamaan PH ialah memastikan sebarang bentuk kerjasama dapat menyumbang kepada kemenangan, selain mengambil kira kepentingan rakyat.
Katanya, kestabilan politik juga menjadi pertimbangan, selain kerjasama yang mempunyai persamaan dari segi dasar dan memberi manfaat kepada rakyat, khususnya dalam membantu golongan miskin serta menangani isu perumahan.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.