
PKR menolak gesaan membubarkan Parlimen sekiranya DAP menarik diri daripada Jemaah Menteri. Parti itu menyifatkan cadangan itu tidak berasas kerana kerajaan perpaduan masih mempunyai mandat dan sokongan mencukupi untuk mentadbir sehingga tamat penggal.
Timbalan setiausaha agung PKR Saifuddin Shafi Muhammad berkata cadangan penolong setiausaha agung PAS Khairul Faizi Ahmad Kamil itu menunjukkan kegagalan memahami asas pembentukan kerajaan dipilih rakyat.
“Pentadbiran sesebuah kerajaan dibina hasil daripada mandat rakyat dan seharusnya diselesaikan dalam tempoh satu penggal penuh, apatah lagi kecemerlangan pentadbiran itu terbukti memacu pertumbuhan ekonomi negara.
“Jika akar umbi DAP mengambil keputusan agar pimpinan mereka meninggalkan posisi pentadbiran, keadaan tetap stabil kerana ahli Parlimen mereka masih menjadi sebahagian daripada blok penyokong kerajaan,” katanya dalam kenyataan.
Cadangan pas dilihat petanda hilang kesepaduan
Semalam, Khairul menerusi catatan Facebook berkata rakyat Malaysia perlu diberi peluang menentukan hala tuju negara menerusi mandat baru. Ini sekiranya DAP menarik diri daripada Jemaah Menteri.
Menurutnya, langkah itu bukan hanya melibatkan rombakan pentadbiran, sebaliknya petanda kerajaan perpaduan sudah kehilangan kesepaduan.
Saifuddin berkata walaupun DAP memutuskan keluar daripada kerajaan, ahli Parlimennya masih boleh kekal sebagai sebahagian blok penyokong kerajaan.
Katanya, langkah itu lebih bersifat strategi dalaman parti untuk memfokuskan usaha memperkukuh organisasi. Ia bukannya petanda kerajaan hilang majoriti.
Kerajaan madani kekal stabil
“Dengan dibarisi lebih dua pertiga ahli Parlimen, pastinya kerajaan Madani tidak akan menghadapi masalah untuk melengkapkan jumlah menteri Kabinet yang diperlukan bagi membantu kelancaran pentadbiran.
“Pun begitu, keberadaan wakil DAP dalam pentadbiran kerajaan Madani tidaklah mendatangkan sebarang impak buruk, selain ianya dijadikan alasan oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk mencetuskan sentimen tidak wajar.
“Malah, menteri dan timbalan menteri yang mewakili DAP tuntas menjalankan amanah yang diberikan di sebalik tekanan fitnah politik berpanjangan,” katanya.
Beliau yakin prestasi pentadbiran perdana menteri Anwar Ibrahim dan pencapaian ekonomi kerajaan akan mengatasi persepsi negatif susulan keputusan dua PRN baru-baru ini.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.