
Seorang murid Tahun Empat di Seremban yang ditemui tidak sedarkan diri di tandas sekolah disahkan meninggal dunia, dengan laporan bedah siasat mengesahkan punca kematian akibat tekanan di leher.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Alzafny Ahmad berkata dalam satu kenyataan, bedah siasat dijalankan di Unit Perubatan Forensik Hospital Rembau. Hasil laporan menunjukkan kematian berpunca daripada tekanan di leher tanpa sebarang kecederaan lain pada tubuh mangsa.
Beliau menambah, setakat ini polis telah merakam 27 keterangan dan siasatan masih diteruskan.
Mayat murid tersebut dikeluarkan dari unit forensik selepas hampir tiga jam bedah siasat pada jam 6.30 petang semalam, sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Forest Heights selepas solat Maghrib.
Media sebelum ini melaporkan, polis telah mengklasifikasikan kes ini di bawah Seksyen 507C Kanun Keseksaan, iaitu berkaitan dengan ugutan dan perlakuan menghina. Mangsa berusia 10 tahun itu dilaporkan ditemui tidak sedarkan diri di tandas sekolah sebelum dibawa ke sebuah klinik swasta.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.