
Polis Johor tidak menolak kemungkinan permainan dalam talian Roblox mempengaruhi kejadian kelar leher membabitkan kanak-kanak lelaki berusia enam tahun di Batu Pahat.
Ketua Polis Johor, Komisioner Ab Rahaman Arsad, berkata insiden itu berlaku pada Isnin (27 Okt) di Kampung Parit Nipah Laut, Parit Raja. Mangsa ditemui dengan kecederaan kelar pada leher serta luka tikaman pada badan.
“Siasatan awal mendapati abang mangsa berusia sembilan tahun bermain Roblox secara meluas dan mengumpul kira-kira satu juta mata. Telefon bimbitnya kemudian rosak akibat tindakan adiknya, yang didakwa menyebabkan mata tersebut hilang,” katanya.
Beliau menambah suspek mendakwa mengalami halusinasi pada waktu malam berkaitan permainan itu dan mengatakan dia ‘diarahkan’ mencederakan keluarganya, sebelum mengambil pisau dari rumah dan menyerang adiknya.
Mangsa dirawat di Hospital Batu Pahat dan dilaporkan stabil. Ibu bapa mangsa, kedua-duanya berusia 40-an, telah ditahan membantu siasatan dan direman hingga Khamis (30 Okt). Polis juga telah mengambil keterangan ahli keluarga lain termasuk kakak mereka berusia 15 tahun.
“Siasatan masih di peringkat awal dan kenyataan mangsa belum dapat diambil kerana belum pulih sepenuhnya,” katanya.
Beliau memaklumkan kedua-dua kanak-kanak kini di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan tidak boleh ditahan seperti suspek jenayah. Kertas siasatan turut dirujuk ke Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Johor.
Ibu mangsa membuat laporan polis pada Isnin selepas menyedari kecederaan anaknya sekitar 5.30 pagi di rumah mereka di Parit Raja.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.