
Polis sedang menyiasat insiden sebatan terhadap patung mirip Perdana Menteri Anwar Ibrahim semasa perhimpunan “Turun Anwar” yang diadakan Sabtu lalu berhampiran Masjid Negara.
Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Usuf Jan Mohamad berkata laporan tersebut adalah satu daripada empat laporan berhubung perhimpunan di Dataran Merdeka. Kes tersebut telah dirujuk kepada Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman dan disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan, Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Dalam sidang media hari ini, beliau memaklumkan bahawa tiga laporan lain berkaitan penggunaan dron telah diserahkan kepada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) untuk tindakan lanjut.
“Polis akan menyiasat semua salah laku bagi memastikan ketenteraman awam terus terpelihara,” katanya.
Polis menganggarkan seramai 18,000 orang menyertai perhimpunan tersebut, namun pihak penganjur, Dewan Pemuda PAS, mendakwa kehadiran melebihi 200,000 peserta.
Peserta himpunan mendesak Perdana Menteri meletak jawatan susulan kos sara hidup yang meningkat dan isu lain.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.