
Pakatan Harapan (PH) berpeluang lebih besar mempertahankan kedudukannya di Pulau Pinang sekiranya Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan secara berasingan daripada Pilihan Raya Umum (PRU), menurut pandangan penganalisis politik.
Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar, dan penganalisis dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Mazlan Ali, sebulat suara menyatakan kadar keluar mengundi merupakan faktor utama yang akan menentukan kemenangan PH, BN dan PN di kerusi yang dipertandingkan.
Kalendar pilihan raya yang terganggu jadi cabaran
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, sebelum ini menyatakan bahawa gangguan terhadap ‘kalendar’ pilihan raya menyukarkan usaha menyelaraskan PRN dengan PRU secara serentak, melainkan ada persetujuan bersama.
Beliau berkata Pulau Pinang masih mempunyai baki kira-kira dua setengah tahun lagi sebelum tamat penggal pentadbirannya, menjadikan pembubaran DUN lebih awal sebagai langkah yang tidak adil kepada pengundi.
“Jadi, tidak adil untuk membubarkan DUN lebih awal semata-mata untuk menyelaraskan PRN dengan Parlimen, selain mengambil kira hak pengundi dan mandat yang diberikan kepada kerajaan negeri ini,” katanya.
Keputusan akhir bergantung kepada arahan parti
Walaupun menyuarakan pandangan peribadi, Chow berkata beliau akan akur sekiranya negeri-negeri lain yang juga tidak mengadakan PRN serentak dengan PRU lalu bersetuju membubarkan DUN bersama Parlimen.
“Namun, dalam hal ini juga apa-apa pun kita tunggu keputusan yang dibuat parti nanti,” katanya.
Chow yang juga Naib Pengerusi Kebangsaan DAP turut menyatakan bahawa DAP Pulau Pinang dijangka menggerakkan jentera parti bagi membantu kempen pada PRN Johor yang akan datang.
Pada 2022, Pulau Pinang, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu tidak mengadakan PRN serentak dengan PRU15. Keenam-enam negeri itu kemudiannya mengadakan PRN pada 12 Ogos 2023.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.