
Landskap politik Sabah pada Pilihan Raya Negeri ke-17 dijangka memasuki fasa paling genting dalam tempoh dua minggu akan datang berikutan dinamik politik negeri yang sukar diramal.
Parti politik dan calon bebas masing-masing giat berkempen bagi menambat hati pengundi Sabah, menuntut hak negeri daripada Kerajaan Persekutuan dan meraih sokongan pada PRN di Negeri Di Bawah Bayu itu.
Ketua Program Sains Politik, Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Sharifah Nursyahidah Syed Annuar, berkata keputusan pilihan raya di Sabah lazimnya sukar diramalkan kerana kepelbagaian budaya, suku dan etnik yang mempengaruhi kecenderungan politik mengikut kawasan.
“Seperti pada Pilihan Raya Umum atau PRN sebelum ini, keputusan di Sabah memang tidak boleh dijangkakan, sukar diramal… tempoh dua minggu ke hadapan ini memang suatu tempoh yang agak getir,” katanya ketika ditemu bual dalam siaran khas penamaan calon PRN Sabah terbitan Bernama TV.
Beliau menambah perbezaan budaya antara Pantai Timur dan Pantai Barat Sabah turut membentuk persepsi politik setempat, sekali gus menyebabkan corak politik negeri itu tidak semestinya selari dengan pola di Semenanjung.
Sementara itu, pensyarah kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA cawangan Negeri Sembilan, Muhamad Fuad Abdul Karim, berkata peningkatan sentimen identiti negeri mendorong parti-parti di Sabah menekankan agenda “Sabah untuk orang Sabah” bagi mengukuhkan sokongan.
“Untuk memenangi hati masyarakat di Sabah, setiap parti yang bertanding memperjuangkan perspektif identiti: Sabah untuk orang Sabah. Negeri kita, kita yang jaga,” katanya.
Muhamad Fuad menegaskan sejarah politik Sabah yang kerap berubah menunjukkan pengundi negeri itu tidak semestinya setia kepada mana-mana parti; mereka cenderung memilih calon atau personaliti yang memenuhi kehendak dan harapan setempat.
“Jika wakil rakyat atau calon yang dipilih tidak memenuhi kehendak rakyat, ada kemungkinan mereka ditolak tanpa mengira parti yang diwakili,” ujarnya.
Beliau turut menjangka media sosial memainkan peranan penting sepanjang tempoh kempen, khususnya dalam mempengaruhi keputusan pengundi muda. Menurutnya, parti yang lebih aktif di platform seperti TikTok dan rangkaian sosial golongan muda berpotensi meningkatkan pengaruh terhadap undi generasi tersebut.
Proses penamaan calon bagi PRN Sabah tamat semalam, menandakan permulaan tempoh kempen selama 14 hari seperti ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya iaitu sehingga 11.59 malam pada 28 November.
Suruhanjaya Pilihan Raya mengesahkan sejumlah 596 calon bertanding dalam PRN Sabah ke-17. Pengerusi SPR, Ramlan Harun, memaklumkan seramai 74 bertanding sebagai calon bebas, manakala Warisan adalah satu-satunya parti yang meletakkan calon di semua 73 kerusi yang dipertandingkan.
Parti Impian Sabah mempertaruhkan 72 calon, diikuti Gabungan Rakyat Sabah 55, Parti Solidariti Tanah Airku 46, Barisan Nasional 45, Perikatan Nasional 42, Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat 40, Upko 25, Pakatan Harapan 22 dan Parti Kebangsaan Sabah 20.
Parti lain meletakkan kurang daripada 20 calon: Parti Kerjasama Anak Negeri 17, Parti Perpaduan Rakyat Sabah 16, Parti Bumi Kenyalang 14, Parti Rumpun Sabah 7, Parti Maju Sabah 6, serta Parti Damai Sabah dan Perjuangan Rakyat masing-masing 5 calon.
Edisi PRN kali ini menyaksikan 73 kerusi Dewan Undangan Negeri dipertandingkan. SPR menetapkan pengundian awal pada 25 November dan hari pengundian pada 29 November.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.