
Bekas timbalan presiden PKR, Rafizi Ramli, mendakwa usaha untuk menaikkan Nurul Izzah Anwar sebagai menteri besar Selangor telah dirancang sejak tahun lalu.
Katanya, rancangan itu membabitkan penyusunan semula politik dalam PKR dan kerajaan Selangor, dengan beberapa tokoh utama parti dan kerajaan terlibat.
Menurut maklumat yang diterimanya, Rafizi berkata rancangan berkenaan antaranya melibatkan kemasukan Tengku Zafrul Abdul Aziz ke dalam PKR, selain pengosongan satu kerusi Parlimen dan satu kerusi DUN bagi membuka laluan kepada Tengku Zafrul dan Nurul Izzah.
“Berita pasal Nurul Izzah jadi menteri besar ini saya dengar dari dalam parti, sebenarnya sejak 2024 lagi,” katanya dalam episod terbaru rancangan audio siar Yang Berhenti Menteri .
Berdasarkan dakwaannya, Tengku Zafrul sepatutnya menyertai PKR pada 2024, dengan pengumuman dijadual dibuat oleh presiden parti, Anwar Ibrahim, ketika kongres parti tahun berkenaan.
Namun, katanya lagi, rancangan itu tergendala apabila berita mengenainya terbocor lebih awal sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pemimpin Umno.
“Berita itu sudah keluar awal dan ada yang kata kumpulan mereka yang bocorkan. Apabila Umno tahu, Umno marah. Maka tak jadi diumumkan (ketika kongres),” dakwanya.
Mengulas lanjut, Rafizi mendakwa satu kerusi DUN dan satu kerusi Parlimen “berkemungkinan Ampang”, akan dikosongkan, masing-masing untuk membuka laluan kepada Nurul Izzah sebagai menteri besar Selangor dan Tengku Zafrul yang akan tamat tempoh senatornya pada Disember ini.
“Saya tak faham macam mana mereka boleh fikir (untuk) suruh Rodziah letak jawatan (sebagai Ahli Parlimen Ampang). Rodziah tengok sajalah, tak akan boleh paksa dia,” katanya sambil menambah rancangan itu turut melibatkan menteri besar Selangor, Amirudin Shari, yang akan dibawa ke peringkat Persekutuan.
“Itu sepatutnya berlaku. Kenapa Nurul Izzah, Tengku Zafrul dan Amirudin (dilibatkan) ialah kerana Tengku Zafrul boleh melicinkan jalan Nurul Izzah jadi menteri besar.
“Masa itu sepatutnya Amirudin sudah ke peringkat Persekutuanlah,” katanya.
Pada 21 November lalu, Amirudin mengakui dalam audio siar Keluar Sekejap bahawa beliau telah mencadangkan Nurul Izzah sebagai penggantinya di Selangor, dan menyatakan kesediaan untuk memikul tanggungjawab di peringkat Persekutuan.
“Secara jujurnya, saya dah kemukakan kepada Izzah sendiri, terpulang kepadanya untuk ambil cadangan itu atau tidak,” katanya.
Bagaimanapun, Anwar kemudian menyatakan ia hanyalah pandangan peribadi Amirudin dan tiada sebarang perbincangan rasmi diadakan antara mereka.
Rafizi berkata keseluruhan perancangan itu akhirnya gagal susulan tentangan Umno dan pelbagai perkara yang melanda PKR sejak 2024.
“Besar kemungkinan mereka tak ambil kira perkara-perkara lain.
“Contohnya, mereka tak ambil kira tentangan Umno… kemudian masuk Februari dan Mac 2025 sudah pemilihan parti (PKR).
“Dengan segala hal semasa pemilihan parti, jadilah macam ini. Tengku Zafrul pun terlepas maka tamatlah (tempoh) dia jadi senator,” dakwanya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.