
Adun Kijal, Razali Idris mengumumkan peletakan jawatannya sebagai ketua Bersatu Terengganu, dan keputusan ini turut disertai dua lagi pemimpin parti di negeri berkenaan.
Exco Terengganu itu dilaporkan sudah menghantar surat peletakan jawatan kepada Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin pada 16 Julai lalu. Cuma, beliau tidak menyatakan sebab sebenar melepaskan jawatan yang disandangnya sejak 10 tahun lalu itu.
“Setakat ini, pihak ibu pejabat parti, termasuk Muhyiddin belum mengesahkan atau membuat keputusan sama ada menerima atau menolak peletakan jawatan itu,” katanya menurut Berita Harian, selepas menghadiri satu program di Kampung Lubuk Batu, Marang, malam tadi.
Turut lepas jawatan ketua bahagian
Razali turut memaklumkan yang beliau bakal melepaskan jawatan ketua Bersatu Marang pada pertengahan bulan depan, selepas menyelesaikan pelbagai tugasan parti di peringkat bahagian.
Namun begitu, beliau menegaskan masih kekal sebagai ahli Bersatu, walaupun sudah melepaskan dua jawatan penting di peringkat bahagian dan negeri.
Dua pemimpin lain turut susul
Pada masa yang sama, Adun Telemong, Zawawi Ismail dan Adun Hulu Besut, Husaimi Hussin turut mengumumkan peletakan jawatan masing-masing sebagai ketua penerangan serta bendahari Bersatu Terengganu.
Difahamkan juga, Timbalan Ketua Bersatu Terengganu, Khazan Che Mat turut akan melepaskan jawatannya.
“Saya menyertai Bersatu pada 2016 atas pelawaan Razali, jika dia letak jawatan, buat apa saya nak terus memegang jawatan,” kata Khazan yang turut menjawat jawatan ketua Bersatu Kuala Nerus dan timbalan speaker Dewan Undangan Negeri Terengganu.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.