
Rumah Putih dilaporkan sedang mempertimbangkan untuk mendedahkan maklumat risikan sensitif berkaitan keupayaan China untuk campur tangan dalam pilihan raya Amerika Syarikat (AS).
Bagaimanapun, langkah tersebut kurang disenangi beberapa pegawai dalam pentadbiran Presiden AS, Donald Trump sendiri kerana bimbang ia berpotensi mengelirukan orang ramai.
Trump dijangka mendedahkan maklumat risikan yang dikumpul serta dianalisis sepanjang penggal pertama pentadbirannya menerusi satu ucapan yang dijadualkan pada malam Khamis.
Beliau turut dijangka memperincikan kelemahan dalam infrastruktur pengundian yang didakwa membolehkan campur tangan pihak asing dalam pilihan raya AS, sehingga berpotensi menjejaskan keputusan pilihan raya berkenaan.
Risikan dikaitkan dengan pilihan raya 2020
Maklumat sulit tersebut dipercayai berkait rapat dengan persoalan sama ada China mempunyai niat atau keupayaan untuk mengganggu pilihan raya AS pada 2020.
Namun begitu, sumber menegaskan risikan berkenaan tidak menunjukkan bukti bahawa Beijing telah memanipulasi atau mengubah jumlah undi pada pilihan raya tersebut.
Trump dilaporkan terus mengulangi dakwaan tidak berasas bahawa pilihan raya 2020 telah dimanipulasi oleh pihak asing, walaupun keputusan undang-undang telah mengesahkan kemenangan berpihak kepada Joe Biden daripada parti Demokrat.
Ucapan beliau minggu ini dijangka turut mendedahkan maklumat baharu mengenai usaha setahun pentadbirannya menyemak semula kelemahan dalam sistem pengundian negara, sebagai sebahagian daripada kempen lebih luas untuk meletakkan pentadbiran pilihan raya AS di bawah kawalan Persekutuan, sedangkan peranan tersebut pada asalnya terletak di bawah bidang kuasa mutlak negeri-negeri mengikut Perlembagaan AS.
Rumah Putih enggan sahkan spekulasi
Jurucakap Rumah Putih, Karoline Leavitt enggan mengulas lanjut mengenai perkara ini, dan menyifatkan dakwaan berkenaan sekadar spekulasi daripada sumber tidak bernama mengenai kandungan sebenar ucapan Trump.
Dalam pada itu, pegawai dalam pentadbiran Trump dilaporkan masih berdebat mengenai keperluan untuk menyahklasifikasikan maklumat tersebut.
Agensi risikan turut menyatakan kebimbangan bahawa tindakan itu berpotensi mendedahkan sumber serta kaedah pengumpulan maklumat, selain memberi gambaran salah seolah-olah Beijing berjaya mencampuri pilihan raya yang lalu.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.