
Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional, Sanusi Nor, berkata beliau akan mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang memutarbelitkan kenyataannya berkaitan Tanah Melayu.
Menurut pemimpin PAS itu, kenyataannya telah diputarbelit demi kepentingan politik.
“Saya sebut benda yang fakta sahaja. Siapa-siapa yang cuba memanipulasi isu ini untuk kepentingan politik, saya akan saman,” katanya, lapor Berita Harian.
Sanusi menambah beliau akan membuat laporan polis dan mengambil tindakan undang-undang untuk “membetulkan keadaan”.
Kenyataan asal cetus kritikan
Sanusi dikritik pelbagai pihak berhubung kenyataannya dua hari lalu dalam satu ceramah sempena PRN Negeri Sembilan.
Pada malam Khamis, Sanusi dilaporkan berkata, “Melayu ada Tanah Melayu ini saja. Orang India ada India, orang Cina ada China, orang Kemboja ada Kemboja, orang Siam ada Thailand. Melayu di mana? Melayu di sini saja.”
Kenyataan tersebut mengundang kritikan daripada pelbagai pihak, termasuk Pengerusi Barisan Nasional (BN), Zahid Hamidi, yang mencadangkan Sanusi tidak perlu datang berkempen di Negeri Sembilan.
PRN Negeri Sembilan menyaksikan BN bertanding di 25 kerusi manakala PN 11, susulan persefahaman antara dua gabungan itu.
Punithan tegas Malaysia tanah air semua kaum
P Punithan, presiden Parti Rakyat India Malaysia yang merupakan komponen PN, juga berkata Malaysia adalah satu-satunya negara yang dianggapnya sebagai tanah air.
Sanusi menjelaskan kenyataannya hanya menyentuh fakta sejarah, dan ucapannya tidak dituju kepada individu tertentu.
Katanya lagi, pihak yang menyebarkan video atau laporan yang didakwa tidak menggambarkan kenyataan sebenar perlu bertanggungjawab.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.