
Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, hari ini sah bergelar suami kepada penyanyi dan pelakon Bella Astillah selepas pasangan itu diijabkabulkan di Aras 118, Menara Merdeka Maybank di sini.
Syed Saddiq, 34, dan Bella, 32, atau nama sebenarnya Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, disatukan dengan sekali lafaz pada 10.40 pagi oleh bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
Mas kahwin RM500, simpanan KWSP RM100,000
Bella menerima mas kahwin RM500 serta tujuh dulang hantaran daripada pihak lelaki, yang dibalas dengan sembilan dulang oleh pihak perempuan.
Antara hantaran yang diberikan Syed Saddiq ialah simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menerusi i-Simpan bernilai RM100,000 dan pakej umrah.
Detik bersejarah itu disiarkan secara langsung di stesen TV dan media sosial kendalian Astro.
Majlis yang dihadiri kira-kira 250 ahli keluarga, saudara-mara dan rakan rapat kedua-dua mempelai itu berlangsung dalam suasana sederhana.
Antara tetamu yang hadir ialah isteri Perdana Menteri, Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Nancy Shukri, bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri Yaakob, serta bekas menteri kesihatan, Khairy Jamaluddin.
“Gegar jugalah lutut dengan tangan”
Menerusi siaran langsung itu, Syed Saddiq meluahkan rasa syukur selepas sah bergelar suami, sambil mengakui beliau gementar ketika akad nikah berlangsung.
“Debat tak ada masalah, dekat Parlimen tak ada masalah, tapi tadi gementar juga. Gegar jugalah lutut dengan tangan, tapi alhamdulillah, bila sah tu, semua tamat,” katanya.
Sementara itu, Bella melahirkan rasa syukur kerana majlis pernikahan mereka berjalan lancar, selain berterima kasih kepada semua pihak yang mendoakan dan memberi sokongan.
“Bella sangat berbesar hati hari ini dan bersyukur ke hadrat Ilahi kerana semuanya telah selesai. Terima kasih kepada semua yang sentiasa mendoakan, yang support Bella dengan YB, yang banyak mendoakan kita orang sehingga hari ini. Kami sangat-sangat hargai, alhamdulillah,” katanya.
Syed Saddiq turut merakamkan penghargaan atas doa dan sokongan orang ramai sepanjang hubungan mereka, yang menurutnya melalui pelbagai rintangan sebelum disatukan sebagai suami isteri.
“Daripada pasangan kerja ke pasangan hidup. Alhamdulillah,” katanya.
Majlis resepsi dan Kenduri Rakyat
Pasangan itu mengikat tali pertunangan pada 28 Mac lepas, sekali gus menarik perhatian peminat yang mengikuti perkembangan hubungan mereka.
Menjelang pernikahan, mereka turut berkongsi perjalanan menuju hari bahagia menerusi media sosial, termasuk video praperkahwinan yang mendapat perhatian pengguna serta ucapan dan doa daripada peminat, dengan beberapa tanda pagar antaranya #BellaSyedYes dan #BASS.
Pasangan itu dijadual mengadakan majlis resepsi di Kuala Lumpur pada 18 Okt ini, diikuti Kenduri Rakyat di Muar, Johor, pada 25 Okt dan Kota Kinabalu, Sabah, pada 31 Okt.
Bella sebelum ini pernah berkahwin dengan penyanyi kelahiran Singapura, Aliff Aziz, dan dikurniakan dua cahaya mata, Mohamad Ayden Adrean, 9, dan Ara Adreanna, 6.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.