
Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, dijemput menghadiri mesyuarat Majlis Raja-Raja yang bermula esok, menurut laporan Straits Times Singapura.
Perkembangan itu dilihat sebagai pengiktirafan Raja-Raja Melayu terhadap kedudukan Tuanku Muhriz sebagai pemerintah sah Negeri Sembilan. Krisis institusi diraja negeri itu sudah berlarutan enam bulan sejak sepupunya, Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar, diisytiharkan sebagai pemerintah baharu.
Menurut Straits Times, Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah, yang dijadual mempengerusikan mesyuarat itu mulai esok hingga 15 Okt, telah menjemput Tuanku Muhriz untuk hadir.
Tunku Nadzaruddin pula dikatakan beberapa kali cuba mendapatkan jemputan ke mesyuarat berkenaan, termasuk menerusi Menteri Besar Negeri Sembilan, Ismail Lasim.
Bagaimanapun, Tuanku Muhriz dilaporkan hanya akan menghadiri mesyuarat pra-Majlis Raja-Raja esok, yang tidak disertai Yang di-Pertuan Agong, bagi menjaga kepentingan negeri masing-masing.
Baginda juga dijadual menyempurnakan pelantikan Undang Luak Jelebu yang baharu pada Rabu ini. Menurut satu sumber, langkah itu memberinya “majoriti jelas” dalam Dewan Keadilan dan Undang (DKU).
Bermula dengan penyingkiran pada April
Negeri Sembilan berdepan krisis institusi diraja sejak April lalu, apabila empat undang yang kedudukan mereka dipertikaikan mengumumkan penyingkiran Tuanku Muhriz.
Empat individu sama kemudian didakwa mengisytiharkan Tunku Nadzaruddin sebagai Yang Dipertuan Besar baharu pada Jun lalu, dalam satu majlis di sebuah hotel lima bintang di Melaka.
Krisis meruncing pada September
Krisis itu semakin meruncing pada September apabila Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pimpinan Ismail mengeluarkan kenyataan yang mengesahkan penyingkiran Tuanku Muhriz.
Ismail turut menyokong kenyataan itu, walaupun pada awalnya beliau menolak pengisytiharan Tunku Nadzaruddin sebagai pemerintah baharu.
Jabatan Peguam Negara dan DKU tolak kenyataan
Bagaimanapun, Jabatan Peguam Negara dan DKU menegaskan kenyataan berkenaan tidak mempunyai kesan undang-undang, dan Tuanku Muhriz kekal sebagai Yang Dipertuan Besar yang sah.
Susulan itu, pelantikan barisan exco terbabit dibatalkan. Pentadbiran Ismail diteruskan tanpa sebarang pelantikan pengganti setakat ini.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.