
Umno Johor menyeru ahli Bersatu di negeri itu kembali ke wadah asal perjuangan Melayu susulan krisis dalaman parti yang menyaksikan 11 bahagian mengumumkan pembubaran.
Ketua Umno Bahagian Johor Bahru Yahya Jaafar berkata krisis yang melanda Bersatu harus dijadikan pengajaran bahawa kekuatan politik Melayu tidak boleh dibina atas perpecahan tetapi mesti berasaskan perpaduan dan kestabilan.
Beliau berkata sejarah membuktikan Umno adalah wadah asal perjuangan Melayu, tempat lahirnya kepimpinan, dasar dan hala tuju negara sejak sebelum dan selepas kemerdekaan.
“Inilah asas kekuatan politik Melayu dibentuk dan diperkukuhkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Yahya turut menyeru dan menjemput ahli Bersatu yang terlibat kembali ke akar perjuangan dan menyertai semula Umno bagi memperkukuh perpaduan politik Melayu.
Beliau berkata landskap politik semasa semakin mencabar dan orang Melayu tidak mampu terus berpecah kepada kelompok kecil yang akan melemahkan suara dan pengaruh mereka.
Menurutnya, seruan itu selari dengan gagasan Rumah Bangsa yang diperkenalkan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi untuk menyatukan kekuatan Melayu di bawah satu platform yang stabil.
Mengulas situasi Johor, beliau berkata kestabilan politik negeri membolehkan agenda pembangunan dilaksanakan secara konsisten di bawah kepimpinan Menteri Besar Onn Hafiz Ghazi.
Katanya, kepimpinan Onn Hafiz yang tegas dan berorientasikan hasil memastikan Johor terus mencatat prestasi memberangsangkan dalam pelaburan, peluang pekerjaan, pengurusan fiskal dan keyakinan pelabur.
Beliau berkata sudah tiba masa untuk mengetepikan perbezaan dan menolak politik perpecahan bagi memastikan Johor kekal makmur dan berdaya saing.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.