
Umno mungkin perlu mengendurkan desakan supaya PRU16 diadakan lebih awal, sekiranya rentetan isu semasa yang membabitkan krisis institusi diraja Negeri Sembilan mula menjejaskan momentum parti itu. Ini kata penganalisis politik.
Tawfiq Yaakub berkata, pilihan raya awal hanya memberikan kelebihan strategik apabila sesebuah parti berada dalam keadaan stabil dan yakin dengan sokongan pengundi, sedangkan Umno kini berada dalam keadaan sebaliknya.
Menurut ahli akademik dari Universiti Malaya itu, rentetan kontroversi berkaitan institusi sensitif seperti Tabung Haji, ditambah pula dengan polemik di Negeri Sembilan, boleh memberi ruang kepada pihak lawan untuk membina naratif bahawa Umno masih dibebani isu lama atau bersifat defensif.
“Saya setuju Umno mungkin perlu mengendurkan nada desakan untuk menyegerakan atau mempercepatkan PRU16 jika penilaian dalaman semakin menunjukkan momentum semasa tidak lagi memihak kepada mereka.
“Gesaan pilihan raya awal hanya berkesan apabila parti berada dalam keadaan yakin, stabil dan memiliki naratif kemenangan yang meyakinkan,” katanya kepada FMT.
Pada 3 September lalu, Presiden Umno, Zahid Hamidi berkata, lebih baik PRU16 diadakan lebih awal bagi membolehkan kerajaan Persekutuan memperoleh mandat baharu daripada pengundi. Namun begitu, parti itu tetap bersedia sekiranya penggal Parlimen diteruskan sehingga tamat penggal, iaitu sekitar Disember 2027.
Isu Tabung Haji dan krisis Negeri Sembilan jadi liabiliti
Pendedahan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji, yang menyiasat pengurusan, operasi dan isu berkaitan aset institusi itu bagi tempoh 2014 hingga 2020, turut mengaitkan beberapa pemimpin Umno.
Susulan pendedahan itu, bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Jamil Khir Baharom dan bekas pengerusi TH, Azeez Rahim didakwa di mahkamah atas salah guna kuasa. Namun, kedua-duanya mengaku tidak bersalah.
Sementara itu, dalam kontroversi membabitkan institusi diraja Negeri Sembilan, majlis mesyuarat kerajaan negeri (exco) yang majoritinya diwakili wakil rakyat Umno, menyatakan proklamasi penurunan takhta Muhriz pada 19 April lalu adalah sah. Exco itu turut mengiktiraf Nadzaruddin Ja’afar sebagai Yang Dipertuan Besar baharu.
Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri dari Global Asia Consulting pula berkata, Umno kini berdepan dilema sama ada mahu memanfaatkan momentum kemenangan di PRN Johor dan Negeri Sembilan, atau memberi ruang supaya kontroversi semasa reda dahulu sebelum pilihan raya umum.
Beliau berkata, kejayaan di Johor dan Negeri Sembilan memang memberikan keyakinan kepada BN, tetapi keputusan itu tidak semestinya boleh diterjemahkan secara langsung ke peringkat nasional.
Persepsi jadi liabiliti politik kepada Umno
Menurutnya, pilihan raya lebih awal boleh membantu Umno mengekalkan momentum. Namun pada masa yang sama, ia turut membawa kontroversi yang belum selesai terus ke medan kempen.
“Bila nama parti terlalu lama berada di sebelah institusi yang bermasalah, persepsi akhirnya menjadi liabiliti politik,” katanya merujuk kepada perkembangan di TH.
Katanya lagi, persepsi paling berat sudah tentu krisis di Negeri Sembilan, terutama bagi Umno yang selama ini membina identitinya sebagai parti yang mempertahankan institusi Raja-Raja Melayu.
“Umno berdepan persepsi sangat berat apabila berlaku polemik berkaitan usaha menyingkirkan Yang Dipertuan Besar, dan menteri besar (Ismail Lasim) sendiri mendakwa beliau menandatangani dokumen berkenaan kerana tekanan,” katanya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.