
Umno menegaskan ia tidak pernah menutup pintu kerjasama dalam hal-hal yang membabitkan masyarakat Melayu dan Islam, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi Sharkar Shamsudin. Beliau berkata Umno berperanan sebagai pemantau dalam kerajaan supaya isu-isu Melayu-Islam terbela.
“Kita terbuka dan tidak pernah tutup pintu kerjasama,” katanya kepada FMT.
Penegasan itu susulan usaha beberapa NGO yang menggesa Umno menghidupkan semula Muafakat Nasional (MN) atau menjalin kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN), sambil menolak kerjasama dengan Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Desakan tersebut disuarakan dalam pertemuan Perkasa bersama 16 NGO lain dengan pimpinan Umno, termasuk Setiausaha Agung Asyraf Wajdi Dusuki.
Sharkar menyambut baik cadangan NGO berkenaan. “Kita alu-alukan dan ucap terima kasih saranan NGO Melayu untuk kita buat MN semula,” katanya, serta menambah perkara itu akan dibincang lanjut.
Ketua Pemuda Umno, Akmal Saleh, memberikan reaksi positif terhadap usaha penyatuan politik Melayu-Islam. “Saya sangat bersetuju. Politik Melayu-Islam perlu disatukan,” katanya.
Ketua Penerangan Pemuda PAS, Khairul Nadzir Helmi Azhar, menegaskan bahawa usaha mengembalikan MN harus berasaskan dasar penyatuan ummah yang lebih holistik dan bukannya semata-mata kepentingan kepartian.
Beliau berkata MN sebelum ini yang dipelopori Umno dan PAS perlu melibatkan parti-parti Melayu yang lebih besar untuk memastikan kemajuan Melayu-Islam, bukan semata-mata soal kuasa.
Saranan ini mencerminkan kebuntuan dalam MN apabila PAS bertegas mahu bekerjasama dengan Bersatu, yang secara langsung menjadi pesaing kepada Umno.
Pada Oktober2022 dilapor bahawa Presiden Zahid Hamidi menyifatkan kerjasama dengan Bersatu sebagai tidak rasional kerana parti itu ditubuhkan dengan matlamat menamatkan Umno dan Barisan Nasional.
Laporan itu merujuk kepada kenyataan pada September tahun sama apabila Pengerusi PN Muhyiddin Yassin mengingatkan bahawa BN adalah musuh utama yang perlu dilawan pada PRU15.
Daripada pihak Bersatu, Ketua Penerangan Pemuda Harris Idaham Rashid berpandangan tiada keperluan menghidupkan semula MN. Beliau berkata PN telah membuktikan keupayaannya menarik sokongan pengundi Melayu, terutamanya golongan pemuda, berdasarkan prestasi PRU2022 dan PRN2023.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.