
Raja Maghribi, Mohammed VI, melantik Fatima Ezzahra El Mansouri sebagai perdana menteri wanita pertama negara itu, sekali gus menjadi wanita kedua di dunia Arab yang memegang jawatan berkenaan.
Menurut kenyataan istana diraja pada Selasa, Fatima, 50, diberi tanggungjawab membentuk kerajaan baharu. Beliau kini Menteri Perancangan Wilayah, Pembangunan Bandar, Perumahan dan Dasar Bandar, selain Datuk Bandar Marrakesh.
Dalam ucapan yang disiarkan menerusi televisyen, Fatima menyifatkan pelantikannya sebagai satu detik bersejarah buat negara itu.
“Buat pertama kali dalam sejarah negara kita, seorang wanita memikul tanggungjawab untuk memimpin kerajaan. Ini bukan sahaja menjadi kebanggaan saya, malah seluruh wanita Maghribi,” katanya.
Tugas pertama bentuk kerajaan campuran
Pelantikan itu dibuat empat hari selepas keputusan pilihan raya diumumkan. Parti Keaslian dan Kemodenan (PAM) yang sejajar dengan institusi monarki muncul sebagai parti terbesar dengan memenangi 97 daripada 395 kerusi Dewan Perwakilan, iaitu dewan rendah Parlimen Maghribi.
Bagaimanapun, jumlah itu masih belum mencukupi untuk memperoleh majoriti mudah sebanyak 198 kerusi. Justeru, PAM perlu membentuk kerajaan campuran bagi mentadbir negara, dan usaha membentuk gabungan itu menjadi tugas pertama Fatima sebagai perdana menteri.
PAM diasaskan pada 2008 oleh Fouad Ali El Himma, seorang rakan rapat Raja Mohammed VI. Parti itu menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan semua parti politik.
Namun begitu, beberapa parti, termasuk Parti Keadilan dan Pembangunan (PJD) serta Persekutuan Kiri Demokratik, mengumumkan akan kekal sebagai pembangkang.
Kerajaan baharu yang bakal dibentuk dijangka memainkan peranan penting dalam menentukan peruntukan pelaburan bernilai berbilion dolar menjelang Piala Dunia FIFA 2030 yang akan dianjurkan bersama oleh Maghribi, Portugal dan Sepanyol.
Latar belakang dan kerjaya politik
Fatima merupakan wanita kedua di dunia Arab yang dilantik sebagai perdana menteri selepas Najla Bouden dari Tunisia, yang memegang jawatan itu dari Oktober 2021 hingga Ogos 2023.
Dilahirkan di Marrakesh pada 1976, beliau berlatar belakangkan bidang perundangan. Beliau memperoleh Diploma Pengajian Lanjutan dari Universiti Montpellier di Perancis, serta diploma dalam undang-undang perniagaan Anglo-Saxon dari Universiti New York di Amerika Syarikat.
Kerjaya politiknya bermula dalam pentadbiran tempatan apabila dipilih sebagai Datuk Bandar Marrakesh pada 2009, sekali gus menjadi wanita pertama menerajui bandar berkenaan. Selepas menamatkan penggal pertamanya, beliau kembali memimpin majlis bandar raya itu susulan pilihan raya 2021.
Selain pengalaman di peringkat tempatan, Fatima turut berkhidmat sebagai anggota Dewan Perwakilan selama beberapa penggal sebelum dilantik menyertai kabinet negara pada Oktober 2021.
Peranan dalam agenda kerajaan
Sepanjang menerajui portfolio perancangan wilayah dan pembangunan bandar, beliau terlibat dalam beberapa agenda utama kerajaan. Antaranya program bantuan perumahan secara langsung, pembaharuan perancangan bandar dan pembangunan wilayah, serta usaha penempatan semula mangsa gempa bumi Al Haouz.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.