
Semua 18 Adun Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan dinasihatkan supaya tidak lagi campur tangan dalam hal berkaitan Dewan Keadilan dan Undang (DKU) serta institusi diraja, kata Ahmad Zahid Hamidi.
Pengerusi BN itu berkata, permasalahan undang-undang dan institusi diraja perlu dipisahkan daripada urusan pentadbiran kerajaan.
“Pendirian kita ialah kita mesti memisahkan permasalahan undang-undang dan juga institusi diraja dengan masalah pentadbiran kerajaan.
“Sebab itu nasihat saya kepada Adun-adun kita supaya tidak lagi campur tangan dalam soal-soal DKU dan juga institusi-institusi diraja,” katanya menurut Utusan Malaysia.
Beliau bercakap kepada pemberita di Kuala Lumpur selepas merasmikan Kongres Keselamatan Jalan Raya (RSC) 2026 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (Mitec).
Seru pihak lain bekerjasama
Zahid turut menyeru pihak yang tidak bersama kerajaan negeri supaya bekerjasama dengan Adun kerajaan.
Menurut beliau, kerajaan Negeri Sembilan kini sedang menyediakan draf bagi pembentangan Belanjawan Negeri 2027.
“Walaupun kerajaan Negeri Sembilan tidak mempunyai exco ketika ini, tetap menyediakan draf bagi pembentangan belanjawan negeri,” katanya.
Presiden Umno itu berkata, rakyat yang memberi mandat mengharapkan kerajaan negeri tidak menjadi kerajaan tergantung.
“Mereka mahu agensi dan jentera kerajaan berjalan seperti biasa atau bertambah baik. Yang penting, manifesto harus diterjemahkan pelaksanaannya dan permasalahan yang ada dihadapi dengan sebaik-baiknya,” katanya.
Krisis institusi takhta
Sebelum ini, Yang Dipertuan Besar, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, menzahirkan kemurkaan terhadap Menteri Besar, Ismail Lasim, dalam satu kejadian selepas solat Jumaat di sebuah masjid di Kuala Pilah.
Pada 14 Oktober, Raja-raja Melayu menyeru pihak luar supaya tidak mencampuri atau mempolitikkan krisis institusi takhta Yang Dipertuan Besar yang sedang dihadapi Negeri Sembilan.
Raja-raja Melayu berkata, usaha penyelesaian hendaklah diserahkan kepada pihak yang berkepentingan dan berautoriti. Ia perlu diselesaikan melalui saluran yang sah, tertib dan berwibawa.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.