
Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan kerjasama parti itu dengan bekas musuh politiknya, DAP sebagai ketentuan Allah, walaupun Umno sebelum ini pernah berikrar tidak akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan.
Menurut Zahid, kerjasama Umno dengan DAP ketika ini adalah berdasarkan pendekatan pragmatik bagi menjamin kestabilan politik negara.
“Saya tiada masalah dengan DAP walaupun suatu ketika dahulu saya melaungkan ‘No Anwar, No DAP’.
“Tetapi Allah mempunyai perancangan lain dan kami ditakdirkan menjadi rakan dalam kerajaan hari ini,” katanya kepada Free Malaysia Today dalam satu temu bual sempena Perhimpunan Agung Umno.
Zahid menolak dakwaan terdapat ahli Umno yang tidak berpuas hati dengan kerjasama itu dan menegaskan beliau mempunyai hubungan baik dengan DAP.
Beliau berkata, sokongan DAP memainkan peranan besar dalam kemenangan Umno pada pilihan raya kecil Mahkota.
“Sokongan mereka membantu calon Umno memperoleh majoriti lebih 20,000 undi.”
Pada 2024, calon BN, Syed Hussien Syed Abdullah memenangi kerusi DUN Mahkota dengan majoriti 20,648 undi, empat kali ganda berbanding majoriti 5,166 undi pada PRN 2022.
Kenyataan Zahid dibuat ketika Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh mengkritik Pakatan Harapan, khususnya DAP, dan mendakwa parti itu melanggar “garisan merah” berkaitan Islam, orang Melayu dan institusi raja.
Akmal turut menggesa Umno keluar daripada kerajaan perpaduan pada konvensyen khas 3 Januari lalu.
Bagaimanapun, Zahid menolak dakwaan bahawa kepentingan Melayu dan Islam telah diketepikan dengan kehadiran DAP dalam kerajaan.
Beliau berkata, DAP menghormati Perlembagaan Persekutuan serta mengiktiraf Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan Islam sebagai agama Persekutuan.
“Mereka tidak lagi mempersoalkan hak orang Melayu dan Bumiputera,” katanya.
Zahid menambah landskap politik negara telah berubah dan kini memerlukan kerjasama antara parti demi kepentingan negara.
Menurutnya, walaupun suatu ketika dahulu Umno dan DAP mustahil duduk semeja, kini kedua-dua parti mampu berganding bahu demi kestabilan negara.
Beliau berkata, kerajaan perpaduan telah memulihkan keyakinan negara luar dan mengelakkan Malaysia terus terperangkap dalam ketidaktentuan politik sejak 2018.
“Saya yakin rakyat tidak mahu episod itu berulang,” katanya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.