
Sebagai parti dominan dalam gabungan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN), Pas seharusnya memikirkan sedalam-dalamnya mengenai pemilihan Ahmad Zahid Hamidi sebagai “poster boy” pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Aktivis politik, Lokman Bonyamin, berkata ini kerana Ahmad Zahid sendiri hampir ditolak oleh pengundi Bagan Datuk pada PRU yang lalu, berhubung dakwaan rasuah yang pernah dilemparkan terhadapnya.
Namun begitu, katanya, jika BN-PN mahu menang PRU16, gabungan itu tetap perlu meletakkan seorang calon “poster boy” untuk pertimbangan rakyat. Ini kerana calon Perdana Menteri, katanya, sangat penting dalam sesebuah PRU.
“Jika BN-PN meletakkan Ahmad Zahid sebagai poster boy, pastinya ia akan mengundang penolakan rakyat dan memberi kelebihan buat Pakatan Harapan (PH).
“BN-PN boleh menjalinkan persefahaman serta kerjasama pilihan raya tanpa membentuk gabungan rasmi. Pendekatan ini bertujuan mengelakkan pertindihan kerusi yang ditandingi kedua-dua pihak.
“Sehubungan itu, setiap parti bebas menampilkan poster boy masing-masing. Soal calon Perdana Menteri pula hanya akan dirundingkan selepas keputusan PRU16 diperoleh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ulasan sinis Zahid sebelum ini
Sebelum ini, Ahmad Zahid memberikan ulasan sinis kepada kenyataan Setiausaha Agung Parti Wawasan Negara (Wawasan), Saifuddin Abdullah, yang mencadangkan Hamzah Zainuddin sebagai Perdana Menteri selepas PRU16.
Menurut Pengerusi BN itu, parti Wawasan kini sedang dalam fasa untuk muncul sebagai entiti baharu memasuki arena politik negara.
Dalam pada itu, Lokman berkata cadangan menamakan Hamzah sebagai calon Perdana Menteri selepas PRU16 itu cuma pandangan peribadi Saifuddin. Ia, katanya, tidak semestinya mencerminkan pendirian mana-mana gabungan atau parti lain.
Setiap parti ada hak tentukan pendekatan sendiri
Mengenai pandangan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, yang mendakwa terdapat unjuran meramalkan Ahmad Zahid akan menjadi Perdana Menteri ke-11 sekiranya parti itu bergabung dengan PH dan mendominasi kerajaan selepas PRU16, Lokman berkata setiap parti mempunyai hak untuk menentukan pendekatan politik masing-masing.
Katanya, ini termasuklah sama ada sesebuah parti mahu bertanding secara solo, atau menjalinkan persefahaman serta kerjasama dengan mana-mana parti lain.
“Keputusan berhubung perkara tersebut boleh dibuat sebelum PRU16, manakala sebarang kerjasama lanjutan atau pembentukan kerajaan selepas pilihan raya bergantung kepada keputusan PRU16 dan rundingan antara parti-parti yang terlibat,” katanya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.