
Adun Pantai Jerejak, Fahmi Zainol, digugurkan daripada barisan Exco Pulau Pinang, menurut Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.
Chow berkata, beliau telah mengadakan pertemuan dengan Fahmi pagi ini bagi memaklumkan keputusan tersebut, dan memaklumkan bahawa pemimpin PKR itu menerima keputusan berkenaan.
Cadangan pengganti akan dikemukakan
Menurut Chow, beliau akan mengemukakan cadangan nama pengganti Fahmi kepada Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang pada petang ini.
Beliau turut memaklumkan bahawa Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh, telah mengutuskan surat kepadanya semalam bagi memohon supaya Fahmi digugurkan daripada barisan Exco kerajaan negeri.
“Saya menghormati keputusan parti,” katanya ringkas.
Berdepan pertuduhan dan penggantungan parti
Minggu lalu, Fahmi mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap isterinya.
Susulan pertuduhan itu, beliau digantung daripada semua jawatan dalam PKR.
Adun penggal pertama itu turut mengemukakan rayuan terhadap penggantungan tersebut dengan alasan bahawa satu-satunya jawatan yang disandangnya dalam parti adalah sebagai ahli jawatankuasa negeri PKR Pulau Pinang secara ex officio berdasarkan kedudukannya sebagai Adun.
Fahmi menyatakan selagi beliau kekal sebagai Adun Pantai Jerejak, kedudukannya sebagai ahli ex officio dalam kepimpinan PKR negeri secara teknikal masih wujud.
Sebelum ini, Chow memaklumkan Fahmi akan terus menjalankan tugas sebagai Exco kerajaan negeri walaupun berdepan pertuduhan, memandangkan beliau masih dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.