
Pakatan Harapan dan Barisan Nasional hanya berpeluang mencipta kejutan di Terengganu pada Pilihan Raya Umum ke-16 sekiranya wujud faktor luar biasa yang mampu mengubah sentimen pengundi, menurut penganalisis politik.
Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri dari Global Asia Consulting berkata, tanpa faktor tersebut, peluang gabungan itu, khususnya Amanah, untuk menembusi kubu kuat Perikatan Nasional adalah amat tipis memandangkan realiti politik negeri itu masih didominasi sokongan pengundi Melayu.
Beliau menyifatkan Terengganu bukan sekadar negeri majoriti Melayu, malah boleh dianggap sebagai kawasan “ultra-Melayu”, dengan hampir 70 peratus undi Melayu kekal memihak kepada PN berdasarkan dapatan semasa. Keadaan itu menjadikan gabungan diketuai Menteri Besar Ahmad Samsuri Mokhtar sukar dicabar.
“Amanah dan PH hanya mampu menapak jika muncul ‘wow factor’ luar biasa, sama ada melalui kejutan strategi, gelombang nasional yang mengubah mood pengundi atau isu besar yang menggugat dominasi PN,” katanya.
Hasrat tanding Kemaman jadi perhatian
Beliau mengulas hasrat Naib Ketua Amanah Terengganu Zamir Ghazali untuk bertanding di kerusi Parlimen Kemaman pada PRU16, yang kini disandang Ahmad Samsuri.
Zamir sebelum ini mendakwa mampu merampas kerusi tersebut daripada PAS, dengan harapan sokongan BN dapat memberi laluan kepadanya.
Pada Pilihan Raya Kecil Kemaman 2 Dis 2023, Ahmad Samsuri yang pertama kali bertanding di kerusi Parlimen itu memperoleh 64,998 undi, menewaskan calon BN Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor yang meraih 27,778 undi.
Beliau menang dengan majoriti 37,220 undi, lebih besar berbanding majoriti 27,179 undi yang diperoleh penyandang terdahulu Che Alias Hamid daripada PAS pada PRU15.
Imej kepimpinan dan simbol kestabilan
Zaharuddin berkata, beliau tidak yakin Zamir mampu menewaskan Ahmad Samsuri di Kemaman berdasarkan kelebihan besar yang dimiliki dari segi imej kepimpinan dan simbol kestabilan politik Melayu-Islam.
Selain jawatan menteri besar dan pengerusi PN, Ahmad Samsuri juga merupakan naib presiden PAS dan dilihat sebagai tokoh yang berpotensi menjadi calon perdana menteri gabungan itu.
“Tanpa faktor luar biasa, hasrat bertanding di Kemaman lebih menyerupai simbol keberanian daripada peluang kemenangan. PH memerlukan naratif yang benar-benar mampu menggoncang akar sokongan Melayu yang kini kukuh di tangan PN,” katanya.
Pandangan itu turut dipersetujui Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia yang berpendapat Amanah sukar menang di Kemaman berdasarkan keputusan pilihan raya kecil lalu.
Menurutnya, BN dilihat lebih kuat berbanding PH di Terengganu, namun tetap gagal menewaskan PAS, khususnya Ahmad Samsuri yang dianggap menteri besar disenangi.
“Berdasarkan pemahaman saya, sokongan pengundi di Terengganu ketika ini sangat memihak kepada PAS dan harapan untuk Amanah yang kurang berakar untuk menang memang sukar,” katanya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.