
Harga minyak dunia melonjak manakala pasaran saham Asia merosot susulan ketegangan di Timur Tengah selepas serangan Amerika Syarikat dan Israel ke atas Iran, yang menjejaskan keselamatan perairan strategik Selat Hormuz serta mencetuskan gangguan terhadap laluan perkapalan.
Dalam dagangan awal Asia pagi ini, minyak mentah Brent meningkat melepasi AS$80 setong berbanding harga penutup AS$72.87 pada Jumaat, sebelum susut sedikit ke bawah paras AS$79.
Di pasaran saham, indeks Nikkei Jepun merosot 2.2 peratus dalam dagangan awal, manakala pasaran Sydney turun 0.5 peratus. Emas sebagai aset selamat pula meningkat dua peratus.
Gangguan di Selat Hormuz tingkatkan kebimbangan
Brent, penanda aras antarabangsa bagi minyak mentah, telah mencatat kenaikan sepanjang minggu lalu menjelang serangan yang bermula Sabtu dan mengorbankan pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei.
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, menggesa rakyat Iran bangkit menentang kerajaan mereka dan menyatakan konflik itu boleh berlanjutan sehingga “empat minggu”.
Kempen serangan balas peluru berpandu dan dron Iran di Teluk dilaporkan membunuh empat individu serta mencederakan puluhan yang lain, menurut Kementerian Luar Emiriah Arab Bersatu.
Walaupun Iran tidak secara rasmi menutup Selat Hormuz, laluan yang mengendalikan kira-kira 20 peratus penghantaran minyak global melalui laut, Pengawal Revolusi memberi amaran supaya kapal tidak melalui perairan tersebut.
Semalam, sekurang-kurangnya dua kapal dilaporkan diserang, masing-masing di luar pantai Oman dan Emiriah Arab Bersatu, menurut agensi keselamatan maritim Britain, UKMTO. Televisyen negara Iran pula melaporkan sebuah kapal tangki minyak diserang dan sedang tenggelam selepas didakwa cuba melalui selat itu secara “haram”.
Risiko bekalan dan lonjakan kos
Dalam situasi ketidaktentuan ini, kos insurans perkapalan meningkat ketara. Amena Bakr dari firma penganalisis Kpler meramalkan harga minyak berpotensi mencecah AS$90 setong.
Beberapa syarikat perkapalan utama turut mengesahkan penggantungan laluan armada mereka melalui kawasan berkenaan.
Jorge Leon dari Rystad Energy berkata, walaupun terdapat infrastruktur alternatif untuk memintas Selat Hormuz, penutupan laluan itu secara efektif boleh menyebabkan kehilangan bekalan minyak mentah antara 8 juta hingga 10 juta tong sehari.
Secara teori, negara pengimport mempunyai rizab simpanan strategik, dengan anggota OECD diwajibkan menyimpan stok minyak sekurang-kurangnya 90 hari. Namun, harga melebihi AS$100 setong tidak boleh diketepikan sekiranya gangguan berterusan.
Bakr menegaskan bahawa walaupun terdapat kapasiti simpanan strategik, jurang bekalan yang besar sukar ditampung sekiranya sekatan berlarutan.
Tekanan inflasi dan kesan ekonomi
Seorang lagi penganalisis Kpler, Michelle Brouhard, menyifatkan harga minyak yang tinggi sebagai “tumit Achilles Trump”. Menurutnya, Iran berkemungkinan mahu mengekalkan harga tinggi bagi memberi tekanan politik, ketika Amerika Syarikat bersiap menghadapi pilihan raya pertengahan penggal hujung tahun ini.
Harga gas juga dijangka meningkat, memandangkan Qatar merupakan pengeksport utama gas asli cecair, sekali gus menambah risiko inflasi global.
Kali terakhir harga minyak mentah melepasi AS$100 setong adalah pada awal perang di Ukraine, yang turut menyaksikan lonjakan harga gas dan tempoh panjang kenaikan kos sara hidup.
Ahli ekonomi Eric Dor dari IESEG School of Management di Paris berkata, kenaikan harga petrol, kos tenaga yang lebih mahal, peningkatan kos penghantaran serta kehilangan hasil sektor penerbangan boleh memberi kesan memudaratkan terhadap pertumbuhan ekonomi.
Beliau menjelaskan, jika gangguan hanya berlaku selama beberapa hari, impaknya mungkin terhad. Namun sekiranya berlarutan, ia berpotensi mencetuskan tekanan kemelesetan tambahan.
Di pasaran saham, sesetengah sektor seperti pertahanan mungkin mendapat manfaat, namun tekanan dijangka berterusan terhadap saham dalam sektor pengangkutan udara, perkapalan dan pelancongan.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.