
Kesukaran menyatukan perjuangan dan kepentingan berbeza dikenal pasti sebagai halangan utama untuk menghimpunkan wakil rakyat bebas di Parlimen bagi membentuk apa yang digelar sebagai gelombang ketiga, menurut penganalisis politik.
Mereka berpandangan gabungan sedemikian sukar berkembang menjadi arus perdana tanpa sokongan parti besar serta kekuatan sumber kewangan, sekali gus mengehadkan kemampuan wakil rakyat berkenaan menunaikan janji atau melaksanakan pembangunan di kawasan masing-masing.
Sukar satukan kepentingan berbeza
Mengulas cadangan Ahli Parlimen Bukit Gantang, Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, Tawfik Yaakub berkata wakil rakyat yang tidak lagi mewakili parti kerana dipecat atau terlucut keahlian lazimnya sukar bergerak secara kolektif.
Menurutnya, persamaan antara mereka selalunya hanya terhad kepada rasa kecewa terhadap perjuangan, parti atau pemimpin tertentu, dan keadaan itu menyukarkan pembentukan satu platform yang benar-benar selari dari segi pandangan dan hala tuju.
Beliau berkata situasi berkenaan akhirnya boleh menyebabkan perpecahan, selain suara kumpulan tersebut semakin tenggelam dalam landskap politik negara.
Minggu lalu, Syed Abu Hussin menyatakan kesediaan untuk menggerakkan usaha menghimpunkan wakil rakyat bebas bagi membentuk blok gelombang ketiga di Parlimen, dengan tujuan menawarkan alternatif kepada rakyat dalam suasana politik yang didakwa semakin berpecah akibat konflik dalaman parti.
Cadangan itu timbul dalam konteks perkembangan politik membabitkan Bersatu yang baru-baru ini memecat timbalan presidennya, Hamzah Zainudin, yang juga ketua pembangkang. Hamzah bagaimanapun dilaporkan mendapat sokongan 18 Ahli Parlimen Bersatu.
Pada 2023, enam Ahli Parlimen Bersatu mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim, iaitu Syed Abu Hussin, Suhaili Abdul Rahman, Azizi Abu Naim, Zahari Kechik, Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid dan Zulkafperi Hanapi.
Pada PRU15 pula, hanya dua wakil rakyat menang atas tiket bebas, iaitu Riduan Rubin dan Verdon Bahanda.
Kekangan ideologi dan sumber
Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri berpendapat tanpa ideologi serta visi bersama, blok bebas mudah berpecah apabila berdepan tekanan atau tawaran daripada parti besar yang memiliki kekuatan sumber.
Menurut penganalisis di Global Asia Consulting itu, sejarah politik Malaysia menunjukkan jumlah wakil rakyat bebas di Parlimen sentiasa kecil dan kebanyakannya akhirnya menyertai parti politik.
Beliau turut merujuk pengalaman luar negara, termasuk Indonesia yang pernah menyaksikan calon bebas di peringkat daerah tetapi jarang bertahan lama tanpa sokongan parti besar.
Di Thailand pula, fenomena wakil bebas akhirnya menyaksikan mereka bergabung dalam koalisi parti kerana keperluan dana dan struktur organisasi.
Katanya, contoh-contoh tersebut menunjukkan blok bebas berpotensi menjadi suara pengimbang, namun sukar berkembang sebagai arus utama dalam sistem politik.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.