
Hampir 90 peratus rakyat Malaysia tidak akan terjejas dengan penyelarasan sementara kelayakan subsidi di bawah Budi Madani RON95 yang akan berkuat kuasa mulai 1 April depan, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Langkah itu menyaksikan had penggunaan diselaraskan daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan, susulan konflik di Asia Barat yang memberi kesan kepada bekalan dan ekonomi global.
Pelarasan sementara had subsidi
Anwar berkata, kerajaan bagaimanapun mengekalkan harga RON95 pada kadar RM1.99 bagi rakyat tempatan.
Menurutnya, pelarasan tersebut bersifat sementara sementara menunggu keadaan bekalan minyak dan ekonomi dunia kembali stabil.
“Langkah ini tentunya sementara, namun setakat ini belum ada tanda-tanda pemulihan,” katanya dalam perutusan negara.
Beliau menjelaskan bahawa hasil penelitian terhadap penggunaan BUDI95 menunjukkan purata penggunaan rakyat adalah sekitar 100 liter sebulan.
“Ini bermakna majoriti rakyat menggunakan hanya sekitar 100 liter sebulan dan hampir 90 peratus menggunakan kurang daripada 200 liter, maka mereka tidak terjejas,” katanya.
Had khas untuk pemandu e-hailing
Dalam masa sama, Anwar memaklumkan pemandu e-hailing kekal menikmati had siling sebanyak 800 liter sebulan.
Katanya, keputusan itu mengambil kira tanggungjawab serta keperluan pekerjaan golongan berkenaan dalam menjalankan operasi harian.
Langkah kawalan bekalan diperketat
Beliau turut berkata Sabah dan Sarawak akan terus menikmati diesel subsidi pada kadar RM2.15 seliter walaupun harga pasaran meningkat.
Namun, kerajaan akan memperketat kawalan dan penguatkuasaan bagi memastikan bekalan diagihkan secara adil dan mencukupi.
Antara langkah yang diumumkan termasuk menetapkan had pengisian seperti berikut:
Kenderaan ringan pengangkutan darat awam, barangan dan persendirian, maksimum 50 liter setiap pembelian.
Kenderaan pengangkutan darat awam dan barangan tidak melebihi 3 tan, maksimum 100 liter setiap pembelian.
Kenderaan melebihi 3 tan, maksimum 150 liter setiap pembelian.
“Langkah ini bertujuan memastikan bekalan mencukupi dan mengelakkan sebarang kecenderungan untuk mengumpul atau menyeludup bahan api seperti yang dikesan sebelum ini,” katanya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.