
Vietnam telah mengecualikan cukai alam sekitar terhadap bahan api buat sementara waktu bagi mengurangkan harga petrol yang melambung tinggi .
Kementerian Perdagangan Vietnam memaklumkan langkah itu diambil susulan gangguan bekalan tenaga global akibat perang di Timur Tengah. Kadar cukai perlindungan alam sekitar bagi petrol, diesel dan bahan api penerbangan akan dikurangkan kepada sifar bermula Jumaat hingga 15 April depan.
“Ini dianggap sebagai penyelesaian segera dan berkesan untuk menstabilkan pasaran petroleum serta menjamin keselamatan tenaga negara di tengah-tengah konflik yang memuncak di Selat Hormuz,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan.
Angka yang dikeluarkan kementerian menunjukkan langkah itu akan menurunkan harga petrol kira-kira 26 peratus manakala harga diesel berkurangan lebih 15 peratus selepas kos bahan api melonjak awal minggu ini.
Kerajaan Vietnam menurunkan harga petrol 95-oktana kepada 24,332 dong (sekitar RM3.7) seliter pada Jumaat daripada 32,957 dong, manakala harga diesel menurun kepada 35,440 dong seliter.
Vietnam sebelum ini telah menyelaraskan harga bahan api sebanyak dua kali pada hari Rabu selepas kos diesel meningkat lebih dua kali ganda sejak perang bermula akhir bulan lalu.
Lonjakan harga minyak global dan penutupan sebahagian Selat Hormuz oleh Iran telah mencetuskan kebimbangan mengenai kekurangan bekalan di seluruh dunia.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.