
Timbalan Presiden Bersatu, Hamzah Zainudin, dipanggil Lembaga Disiplin parti itu bagi membantu siasatan berhubung dakwaan pembabitannya dalam kekecohan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) serta serangan terhadap Presiden, Muhyiddin Yassin.
Ketua pembangkang itu dijadualkan memberi keterangan pada jam 12 tengah hari, Khamis depan, di Ibu Pejabat Bersatu.
Menurut surat pemberitahuan yang ditandatangani Pengerusi Lembaga Disiplin, Radzi Manan, terdapat empat aduan disiplin terhadap Ahli Parlimen Larut berkenaan, masing-masing bertarikh 30 Sept 2025 dan 5 Feb lalu.
Panggilan kali kedua
Ini merupakan kali kedua Hamzah dipanggil oleh Lembaga Disiplin, selepas satu sesi terdahulu pada 5 Okt 2025. Namun difahamkan, beliau tidak menghadiri sesi berkenaan.
Dalam surat itu, Lembaga Disiplin memaklumkan pihaknya memandang serius semua aduan yang diterima, termasuk dakwaan penglibatan Hamzah dalam perancangan untuk mengganggu serta mensabotaj perjalanan PAT yang berlangsung pada September lalu.
Hamzah turut didakwa gagal menghalang beberapa pemimpin dan ahli parti daripada mengeluarkan kenyataan yang menyerang Muhyiddin, sekali gus mencemarkan imej Bersatu.
Dakwaan rundingan tanpa mandat
Aduan lain yang dikemukakan termasuk kegagalan menghalang rundingan dengan presiden parti komponen Perikatan Nasional tanpa mandat parti, termasuk perbincangan berkaitan Majlis Eksekutif Perikatan Nasional yang sebelum ini telah ditolak oleh Biro Politik dan Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu.
Hamzah juga didakwa mencemarkan imej Muhyiddin apabila membuat kenyataan berhubung tidak dijemput ke pertemuan melibatkan presiden parti komponen Perikatan Nasional pada 28 Jan lalu.
Desakan tindakan tegas
Sebelum ini, dua pemimpin Bersatu Selangor, Rafiq Abdullah dan Harisson Hassan, menggesa Lembaga Disiplin menyiasat Hamzah dan mengambil tindakan tegas, termasuk pemecatan sekiranya beliau didapati bersalah menjadi punca krisis dalaman parti.
Rafiq turut mendesak Hamzah supaya berundur, namun penganalisis politik berpandangan timbalan pengerusi Perikatan Nasional itu tidak akan melayan tuntutan berkenaan, sebaliknya menunggu keputusan rasmi daripada Bersatu.
Hamzah sebelum ini menafikan hubungan beliau dengan Muhyiddin berada dalam keadaan tegang, selain menolak dakwaan kewujudan dua kem dalam Bersatu dan Perikatan Nasional.
Beliau mendakwa naratif berkenaan sengaja diwujudkan untuk mencetuskan perpecahan dalaman, namun namanya terus dikaitkan dengan dakwaan usaha menyokong perpecahan yang dipercayai membawa kepada beberapa tindakan disiplin dalam parti.
Antara tindakan berkenaan termasuk pemecatan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan, dan Ahli Parlimen Indera Mahkota, Saifuddin Abdullah, serta penggantungan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.