
Keadaan huru-hara dalam sesebuah negara boleh membuka ruang kepada pihak tertentu untuk mengambil kesempatan bagi mencapai agenda masing-masing, kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari.
Menurut beliau, situasi seperti itu tidak boleh dibiarkan berlarutan sehingga menjejaskan keselamatan awam serta kestabilan negara.
Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata keadaan juga tidak boleh dibiarkan sehingga membawa kepada pengisytiharan darurat yang boleh memberi kesan besar kepada rakyat dan negara.
“Sekiranya keadaan menjadi tidak terkawal sehingga membawa kepada darurat, rakyat dan negara secara keseluruhannya akan menanggung kerugian besar dari segi kestabilan, ekonomi dan kehidupan masyarakat,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial.
Beliau turut menyeru semua pihak supaya bertindak secara rasional dan bertanggungjawab bagi memastikan keamanan negara terus terpelihara.
Kecam tindakan pembakaran kenderaan
Ahmad Fadhli dalam masa sama mengutuk tindakan ganas pembakaran kenderaan yang dilaporkan berlaku terhadap seorang individu dikenali sebagai S Chandrasegaran, 47, atau Cikgu Chandra.
Beliau menegaskan bahawa tindakan melampau seperti itu tidak boleh diterima dalam sebuah negara yang berteraskan undang-undang dan keamanan.
Sehubungan itu, orang ramai diminta supaya kekal tenang serta tidak bertindak di luar batas kewarasan.
Desak siasatan segera dan telus
Ahmad Fadhli turut mendesak pihak berkuasa supaya mengambil serius perkembangan berkenaan dan menjalankan siasatan secara segera, telus serta menyeluruh.
Menurut beliau, individu atau kumpulan yang terlibat perlu dikenal pasti dan dihadapkan ke muka pengadilan bagi memastikan keadilan ditegakkan serta menjadi pengajaran kepada pihak lain agar tidak melakukan tindakan serupa.
Beliau menegaskan setiap pihak perlu menghormati dan mematuhi undang-undang negara.
Katanya, sebarang pertikaian atau ketidakpuasan hati harus disalurkan melalui saluran undang-undang yang sah.
“Mengambil undang-undang di tangan sendiri hanya akan memburukkan keadaan serta membuka ruang kepada unsur provokasi dan ekstremisme,” katanya.
Laporan insiden serangan dan ancaman
Terdahulu, media tempatan melaporkan bahawa pendakwah bebas Firdaus Wong Wai Hung memuat naik maklumat mengenai satu insiden serangan oleh tiga lelaki bersenjata di rumah Cikgu Chandra pada Isnin.
Kejadian kedua dilaporkan berlaku apabila kenderaan lelaki itu dibakar oleh individu tidak dikenali pada awal pagi Selasa.
Sebelum itu, pada Ahad lalu, polis turut menahan seorang individu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan insiden ancaman terhadap penceramah bebas Zamri Vinoth di Pulau Pinang.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.