
Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi DUN Silam, Abdul Halim Sidek Gulam Hassan, menarik diri daripada bertanding dalam Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17.
Abdul Halim berkata keputusan itu dibuat selepas perbincangan dengan pimpinan tertinggi PH dan menegaskan ia adalah keputusan peribadi tanpa sebarang tekanan atau rundingan dengan pihak luar.
“Keputusan ini dicapai selepas pertimbangan matang untuk mengekalkan hubungan baik dan keharmonian dengan parti rakan lain,” katanya dalam kenyataan.
Beliau merupakan antara 12 calon daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang tersenarai untuk PRN kali ini.
Abdul Halim berkata beliau percaya perpaduan dan kerjasama antara PH dan parti lain adalah lebih penting untuk masa depan politik negeri Sabah.
Walaupun tidak lagi bertanding, beliau menegaskan komitmen berterusannya terhadap masyarakat dan kebajikan pengundi di Silam.
“Saya tetap komited dan akan terus bekerja bagi memastikan kebajikan serta kepentingan rakyat di Silam khususnya, dan Lahad Datu amnya, sentiasa terpelihara. Perjuangan untuk rakyat tidak pernah berhenti,” katanya.
Kerusi DUN Silam kini dipegang oleh Dumi Pg Masdal daripada Parti Warisan.
Dengan pengunduran Abdul Halim, saingan yang asalnya sembilan penjuru pada hari penamaan calon akan menyaksikan lapan penjuru bertanding, bagi meraih sokongan daripada 28,261 pengundi di kawasan itu.