
DAP Wilayah Persekutuan menyifatkan tiada seorang pun menteri Wilayah Persekutuan atau ketua bandaraya setakat ini benar-benar mencapai penanda aras pembangunan Kuala Lumpur, walaupun jawatan itu sering bertukar tangan, kata pengerusinya Tan Kok Wai.
Beliau menegaskan individu yang memegang jawatan berkenaan perlu membawa perubahan ketara melalui tadbir urus berkualiti, kecekapan pentadbiran dan kepekaan terhadap kepentingan awam.
Semalam, Kuala Lumpur menerima ketua bandaraya baharu, Fadlun Mak Ujud, yang mengangkat sumpah pada 15 Nov menggantikan Maimunah Mohd Sharif. Tan menegaskan tempoh perkhidmatan yang singkat sebelum ini menunjukkan kesinambungan dasar masih belum mencukupi.
DAP Wilayah Persekutuan bersedia memberi kerjasama serta menyokong dasar yang membina, namun menuntut akauntabiliti yang jelas bagi memastikan perkhidmatan awam selaras dengan aspirasi demokratik rakyat.
Antara tuntutan yang dikemukakan adalah pelaksanaan libat urus awam terbuka bersama semua Ahli Parlimen Kuala Lumpur untuk setiap keputusan perancangan utama. Langkah itu, menurut Tan, penting bagi memperkukuh mekanisme pencegahan rasuah dan memperjelas penanda aras integriti.
“Kuala Lumpur sedang terbeban dengan terlalu banyak projek berketumpatan tinggi yang menjejaskan kualiti hidup. Kita tidak boleh mengurus sebuah bandar abad ke-21 dengan mentaliti abad ke-20,” kata Tan.
DAP juga menyokong moratorium bagi projek baharu di kawasan yang infrastrukturnya sudah mencapai tahap tepu. Jika tiada perubahan dasar, beliau bimbang bandaraya akan menjadi tidak mampan, tidak inklusif dan kurang berdaya tahan.
Dalam ucapannya, Tan sekali lagi menyeru kerajaan untuk mengembalikan pilihan raya pihak berkuasa tempatan di peringkat Bandaraya Kuala Lumpur. Menurutnya, pelaksanaan pilihan raya PBT perlu dirancang segera, sama ada sebelum atau selepas PRU, berdasarkan ‘road map’ yang jelas.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.